9 ditahan disyaki seleweng diesel bersubsidi di Johor


SEMBILAN lelaki ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan rampasan sebanyak 17,444 liter dalam tiga serbuan berasingan di daerah Johor Bahru mulai petang semalam hingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata semua individu yang terdiri daripada lapan lelaki tempatan dan seorang warga asing berusia 20 hingga 41 tahun itu ditahan menerusi Op Kontraban antara jam 5 petang dan 2.15 pagi.

Beliau berkata, tangkapan pertama di sebuah stesen minyak di Skudai, kedua di sebuah stor di Ulu Tiram manakala ketiga di kawasan perindustrian Pasir Gudang.

“Menerusi serbuan itu, polis merampas diesel bernilai RM48,494, empat lori, satu van, enam tangki minyak besi dan tiga tangki plastik intermediate bulk container (IBC) membabitkan nilai keseluruhan rampasan RM281,494,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, seorang daripada mereka iaitu individu berusia 25 tahun mempunyai rekod lampau di bawah kesalahan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau berkata, semua tahanan diserah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – Bernama, 1 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen