Bekas kakitangan Utusan berhimpun tuntut pampasan


Seramai 150 bekas kakitangan Utusan Melayu berhimpun hari ini di hadapan bangunan yang pernah menempatkan ibu pejabat Utusan Melayu (M) Bhd. – Gambar Gerakan Media Merdeka (Geramm), 1 Oktober, 2022.

SEKUMPULAN bekas kakitangan Utusan Melayu berhimpun hari ini bagi menuntut pampasan yang masih belum ditunaikan selepas syarikat tersebut serta asetnya diambil alih.

Mereka mendesak pelikuidator UHY Malaysia membuat bayaran statutori, pampasan dan juga tunggakan bagi skim pemisahan pekerja sejak tiga tahun lepas melibatkan 800 pekerja.

Jurucakapnya, Yang DiPertua Badan Keluarga Utusan Melayu Saifol Bakhtiar berkata mereka kecewa kerana kebajikan pekerja itu terabai sehingga ke akhir hayat.

“Sehingga kini, seramai 13 orang telah meninggal dunia tanpa mendapat bayaran satu sen pun pampasan atau tunggakan baki VSS (skim pemisahan sukarela),” katanya.

Tambahnya, 23 orang lagi bekas kakitangan terlibat kini dalam daif kerana mengidap pelbagai penyakit dan masih tidak mendapat pampasan yang dituntut.

Beliau menyebut demikian dalam kenyataan mengenai perhimpunan disertai 150 kakitangan tersebut di hadapan bangunan yang pernah menempatkan ibu pejabat Utusan Melayu (M) Bhd.

Lebih 800 pekerja diberhentikan apabila Utusan Melayu menghentikan operasi pada Oktober 2019 yang dilaksanakan pelikuidator UHY Malaysia.

Penerbitan utamanya, Utusan Malaysia kemudian kembali beroperasi pada Julai 2020 bawah syarikat penerbitan baharu, Media Mulia Sdn Bhd.

Bekas kakitangan Utusan Melayu berhimpun hari ini bagi menuntut pampasan yang masih belum ditunaikan selepas syarikat tersebut serta asetnya diambil alih. – Gambar Facebook, 1 Oktober, 2022.

Gesaan untuk mendapatkan bayaran tersebut berterusan walau UHY Advisory pada Mac lalu mengumumkan mereka tiada rancangan untuk membuat bayaran itu.

UHY menyebut, hanya pekerja bergaji bawah RM2,000 dan pekerja buruh kasar sahaja layak mendapat faedah penamatan mengikut Akta Pekerja.

Ia turut mengumumkan, segala hutang yang wajib dibayar kepada pekerja seperti tunggakan gaji sudah dibayar dan kini mereka hanya berhutang pembayaran baki cuti kakitangan.

Turut dilunaskan, hutang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Potongan Cukai Berjadual Lembaga Hasil dalam Negeri dan gratuiti kepada kakitangan layak, kata syarikat itu.

Ia turut menjangka akan memperolehi lebihan tunai RM86 juta selepas menjual aset utama Utusan Melayu menjelang hujung 2022, yang akan digunakan untuk membayar kepada kreditor.

Mengulas perkembangan itu, Saifol berkata mereka sedar papan tanda logo Utusan Melayu sudahpun diturunkan dari bangunan bekas ibu pejabat syarikat akhbar itu dan kilangnya di Bangi.

“Ini menunjukkan sudah tentu bangunan yang dianggar bernilai lebih RM150 juta itu telah terjual,” katanya yang menambah aset bernilai ratusan ringgit di seluruh negara juga berpindah milik.

Tambahnya, UHY bagaimanapun memberi alasan syarikat tiada wang untuk membayar bekas kakitangan dan tunggakan VSS kerana aset-aset Utusan masih tidak boleh dijual.

Alasan tersebut tidak logik, katanya yang turut mahu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob campur tangan dalam isu kebajikan bekas kakitangan Utusan Melayu itu.

Katanya, Ismail perlu mengajur perbincangan di antara UHY dan wakil pekerja untuk menyelesaikan tuntutan mereka dan juga saman di mahkamah.

Seramai 200 kakitangan NUJ Utusan Melayu memfailkan tuntutan berkaitan pampasan mereka di Mahkamah Tinggi pada 13 Ogos 2020. – 1 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen