Zaharin sedia tanding Bandar Tun Razak atas tiket Pakatan


Zaharin Mohd Yassin kini mempertimbang tawaran mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Bandar Tun Razak dalam pilihan raya umum akan datang selepas dipecat dari Umno. – Gambar Facebook, 1 Oktober, 2022.

ZAHARIN Mohd Yassin kini mempertimbang tawaran untuk mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Bandar Tun Razak dalam pilihan raya umum akan datang selepas dipecat dari Umno.

Bekas bendahari Umno Bandar Tun Razak itu berkata, beliau meneliti tawaran itu sekiranya dikemukakan secara rasmi.

Katanya, beliau maklum namanya dikemukakan untuk bertanding di kerusi itu sebagai calon alternatif jika Bandar Tun Razak tidak ditandingi Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Saya tidak berminat jadi calon di Parlimen Bandar Tun Razak ini tetapi jika ada desakan pemimpin pembangkang atau jemputan rasmi, saya akan pertimbangkan,” katanya.

“Saya percaya jika saya bertanding bawah tiket Pakatan Harapan melalui PKR saya boleh menang mudah,” katanya dalam satu kenyataan melalui siaran video di pelantar Facebook.

Kenyataan itu menyusuli pengumuman Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengenai pemecatannya dari parti tersebut pada malam tadi.

Ahmad menyatakan, pemecatan itu dibuat mengikut Fasal 10.6 perlembagaan parti dan dibaca bersama Fasal 5.9 kerana melanggar etika ahli Umno di bawah Fasal 20.9.

Ahmad bagaimanapun tidak menyatakan dengan terperinci tindakan melanggar etika ahli itu.

Mengulas lanjut Zaharin berkata nama beliau dicadangkan sebagai calon kerusi tersebut oleh beberapa pemimpin kanan serta rakannya dalam PKR.

“Dan orang yang rapat dengan Anwar Ibrahim pun telah maklumkan dia pun sudah bercakap dengan (Anwar) supaya pertimbangkan saya sebagai calon,” katanya.

Zaharin yang dikenali dengan kenyataan dan kritikan lantang ke atas pemimpin Umno turut menyatakan penghargaan atas pemecatannya dari parti itu.

Bekas bendahari Umno Bandar Tun Razak itu berkata pemecatan itu tidak akan menutup mulutnya dari terus mengkritik parti, terutama presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

“(Ia) malah menaikkan semangat saya terus mengajak rakyat Malaysia berbilang kaum menolak BN (dan) Umno di bawah kepemimpinan seorang perompak, penyamun dan pencuri wang rakyat.”

Kerusi Bandar Tun Razak kini disandang Timbalan Menteri Kerja Raya Kamarudin Jaffar yang menang kerusi itu dalam pilihan raya umum 2018 sewaktu menyertai PKR.

Kamaruddin antara ahli Parlimen PKR yang beralih menyertai Bersatu melalui Langkah Sheraton yang menyebabkan pentadbiran Pakatan Harapan tumbang pada 2020.

Bandar Tun Razak kini disebut-sebut sebagai antara kerusi yang akan ditandingi Anwar selepas ahli Parlimen Port Dickson itu mengumumkan akan beralih ke kerusi pengkhianat PKR. – 1 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen