Zamihan gagal dalam samannya terhadap Mufti Perlis


PRESIDEN Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA) Zamihan Mat Zin hari ini gagal dalam tuntutan samannya terhadap Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah menerusi dua artikel.

Ini berikutan Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Mahkamah Tinggi Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee menolak saman Zamihan selaku plaintif terhadap Mohd Asri sebagai defendan yang difailkan pada Julai 2019.

Lee dalam penghakimannya berkata plaintif gagal untuk membuktikan terdapatnya penerbitan kenyataan fitnah terhadapnya menerusi dua artikel berkenaan kerana tiada sebarang saksi yang dikemukakan oleh plaintif untuk mengesahkan percakapan defendan.

“Kedua-dua artikel tersebut tidak boleh dirujuk dan dipertimbangkan oleh mahkamah, oleh itu tiada sebarang bukti untuk mengesahkan penerbitan artikel berkenaan,” katanya semasa menyampaikan keputusan kes saman itu secara dalam talian.

Lee berkata dalam kes ini, plaintif mendakwa defendan memberikan kenyataan kepada wartawan yang kemudiannya menulis dan menerbitkan artikel-artikel itu.

“Ini bermakna, pembuat atau penulis artikel perlu hadir ke mahkamah dan secara rasminya mengesahkan artikel itu tulisan mereka, barulah artikel itu boleh diterima pakai, dirujuk dan dipertimbangkan oleh mahkamah ini.

“Malangnya perkara ini tidak dilakukan dalam kes ini dan plaintif tidak memanggil saksi-saksi bagi membuktikan kewujudan artikel tersebut.

“Oleh yang demikian adalah penting untuk plaintif memanggil wartawan yang mendengar kenyataan-kenyataan tersebut bagi mengesahkan terdapatnya percakapan sedemikian daripada defendan. Oleh itu, tuntutan saman plaintif ditolak dengan kos,” katanya yang turut memerintahkan plaintif membayar kos RM40,000 kepada defendan.

Prosiding itu turut disertai Zamihan yang tidak diwakili peguam dan Mohd Asri serta dua peguamnya iaitu Faizal Rahman dan Fatima Zulaikha Ahmad Bashri.

Perbicaraan kes saman itu telah berlangsung selama enam hari bermula 4 Julai lepas dengan plaintif memanggil tiga saksi manakala defendan enam saksi untuk memberikan keterangan.

Dalam penyataan tuntutan Zamihan mendakwa Mohd Asri mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya sebanyak dua kali melalui artikel bertajuk ‘Bukan Perlis Sahaja’ yang diterbitkan pada 14 Oktober 2018 dan sesi forum Sosma bertajuk ‘Siapa Pengganas & Potensi Salahguna Kuasa’ di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 9 Februari 2019.

Plaintif mendakwa ucapan Mohd Asri itu disiarkan di portal berita Malaysiakini dan kenyataan fitnah itu secara langsung merujuk kepada kerjaya, jawatan dan ia tidak benar selain membawa maksud bahawa plaintif tidak berintegriti, pembohong dan mengelirukan orang awam dengan hukum Islam yang karut.

Zamihan mendakwa kenyataan fitnah itu adalah berniat jahat dan mendedahkan dirinya kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan dalam masyarakat dan menuntut antaranya ganti rugi am RM2 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, permohonan maaf daripada defendan,  perintah injunksi melarang defendan sama ada secara langsung atau tidak mengeluarkan kenyataan itu dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.        

Sementara itu, Zamihan memaklumkan kepada mahkamah beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini. – Bernama, 30 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen