Pkharuddin dilantik ketua pengarah pendidikan baharu


Pkharuddin Ghazali (kanan) menerima surat lantikan daripada Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali. Beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan ke-19, berkuat kuasa 23 September lepas.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2022.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan pelantikan Pkharuddin Ghazali sebagai Ketua Pengarah Pendidikan ke-19, berkuat kuasa 23 September lepas.

Pkharuddin, 59, yang sebelum ini adalah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum) menggantikan Nor Zamani Abdol Hamid yang bersara wajib pada 29 Julai.

Menurut KPM, Pkharuddin telah berkhidmat di pelbagai organisasi kementerian itu dalam tempoh 33 tahun perkhidmatannya, antaranya sebagai Penolong Pengarah Sektor Penilaian dan Peperiksaan di Lembaga Peperiksaan dan Pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan.

“Pkharuddin diyakini dapat menggalas tanggungjawab sebagai peneraju perkhidmatan pendidikan dan meneruskan kesinambungan dalam memacu transformasi pendidikan bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara ke tahap lebih tinggi,” menurut KPM dalam kenyataan hari ini. – Bernama, 30 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen