ENAM orang termasuk dua peguam dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman berkuat kuasa hari ini.
Kesemua mereka menerima surat cara pelantikan daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat ialah Fathiyah Idris, Wan Fadhilah Nor Wan Idris, Rofiah Mohamad, Wong Mee Ling, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan dan Suria Kumar a/l Durairaj Johnson Paul.
Menurut kenyataan media Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) kesemua mereka juga mengangkat sumpah jawatan dan taat setia pesuruhjaya kehakiman di Istana Kehakiman hari ini.
Fathiyah, 56, sebelum ini pernah menyadang jawatan sebagai peguam bela, majistret, Ketua Mediasi Mahkamah Shah Alam dan hakim Mahkamah Sesyen.
Wan Fadhilah, 54, pula pernah berkhidmat sebagai Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, hakim Mahkamah Sesyen dan Pengarah Bahagian Pengantara (mediasi) manakala Rofiah, 54, pernah menyandang jawatan sebagai Penolong Kanan Pendaftar, majistret, hakim Mahkamah Khas Koroner dan saman Jabatan di Shah Alam dan hakim Mahkamah Sesyen.
Wong, 66, pernah menyadang pelbagai jawatan antaranya sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Alam Sekitar, majistret, Penolong Penggubal Undang-Undang Parlimen, Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara dan Peguam Kanan Persekutuan di Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja Raya dan Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri.
Raja Ahmad Mohzanuddin, 50, pula merupakan rakan kongsi di beberapa firma guaman termasuk di Tetuan Haq & Associates dan Tetuan Azmi & Associates, manakala Suria Kumar, 56 berkhidmat sebagai peguam bela dan peguam cara di beberapa firma guaman. β Bernama, 30 September, 2022.
Komen