Pembinaan SMK Kota Warisan atas dasar tanggungjawab KPM, kata Radzi


Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata keputusan pembinaan SMK Kota Warisan di Sepang setelah mengambil kira aspek kepadatan penduduk di sesuatu kawasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2022.

PEMBINAAN Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Warisan di Sepang adalah atas dasar tanggungjawab Kementerian Pendidikan (KPM) yang meneliti keperluan pembinaan sekolah baharu setelah mengambil kira aspek kepadatan penduduk di sesuatu kawasan, kata Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin.

“Rekod prestasi kami di KPM, PRU (Pilihan Raya Umum) atau tidak, bila kita melihat satu keadaan yang memerlukan penelitian segera, kami bangkitkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek pembinaan SMK Kota Warisan itu hari ini, serta menafikan andaian tujuan pembinaan sekolah itu sebagai ‘gula-gula’ pilihan raya.

Radzi turut memberi contoh pembinaan SMK Bandar Saujana Putra di Kuala Langat yang terbengkalai sekian lama namun selepas campur tangan KPM akhirnya sekolah itu mula beroperasi Mac lepas.

Menurut Radzi kawasan Kota Warisan di Sepang mula didiami penduduk sekitar 2001 namun sekolah menengah yang terdekat ialah SMK Dengkil dengan jarak lapan kilometer (km) dan SMK Seri Sepang pula sejauh 10km.

“Jadi projek yang kita buat ini mengambil kira pembinaan dan pembukaan kawasan baharu di sini dan jumlah penduduk yang akan meneruskan pendidikan di peringkat menengah akan meningkat.

“Ini tentunya berita baik untuk mereka di Sepang dan Kota Warisan kerana sebelum ini jarak untuk mereka hantar anak ke sekolah agak jauh dan sekolah yang sedia ada telahpun padat,” katanya.

Pembinaan SMK Kota Warisan dengan keluasan 4.85 hektar akan dimulakan selepas surat setuju terima (SST) diselesaikan awal Disember ini dan disiapkan sepenuhnya pada September 2025. Sekolah itu akan mempunyai 42 bilik darjah untuk menempatkan 30 hingga 35 pelajar, serta turut mempunyai padang dan gelanggang sukan.

Radzi berkata SMK Kota Warisan juga akan mempunyai bangunan khas untuk pelajar berkeperluan khas. 

Sementara itu Radzi berkata guru cemerlang sekolah rendah berpeluang dinaikkan gred lebih tinggi sehingga DG52 atau DG54 dan kriteria serta perinciannya akan diumumkan dalam masa terdekat oleh pihak KPM. 

“Kita sedar sudah ramai guru siswazah ditempatkan di sekolah rendah iaitu lebih 90 peratus seperti sekolah menengah. Guru cemerlang sekolah rendah pun akan diberi ruang sama seperti guru sekolah menengah,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai rungutan dalam kalangan guru sekolah rendah bahawa kuota guru cemerlang hanya setakat gred DG48 berbanding guru sekolah menengah yang boleh sampai sehingga gred DG52 atau DG54 sedangkan kesemua mereka mempunyai tahap pendidikan sama.

Guru cemerlang disandarkan sebagai pakar rujuk dalam bidang atau mata pelajaran diajar dan penyebaran ilmu dan pengetahuan guru cemerlang dilihat mampu untuk dimanfaatkan kepada bidang lain seperti penggubal soalan peperiksaan, penulis buku teks dan bahan ilmiah. – Bernama, 30 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen