Anwar Ibrahim usul Dewan Rakyat bahas masalah ekonomi


Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata usul itu dikemukakan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat melalui satu pemberitahuan bertulis hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2022.

KETUA Pembangkang Anwar Ibrahim mengemukakan usul untuk Dewan Rakyat membahaskan masalah ekonomi negara termasuk kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata usul itu dikemukakan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat melalui satu pemberitahuan bertulis hari ini.

“Saya berharap usul ini mendapat pertimbangan sewajarnya dari Yang di-Pertua Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dewan Rakyat mula bersidang Isnin ini dengan fokus pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat (7 Oktober).

Anwar mengemukakan usul itu mengikut Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan 18 (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang berkehendakkan perkara itu tertentu, ada kepentingan awam, dan perlu disegerakan.

“Perkara ini perlu disegerakan kerana kenaikan harga barang yang mendadak dan kejatuhan nilai mata wang negara terkini memberi kesan terus kepada rakyat baik secara jangka pendek dan jangka panjang,” katanya.

Tiga hari lepas Anwar menulis surat meminta Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengemukakan usul berkenaan di Dewan Rakyat atau memberi jalan kepadanya berbuat demikian selaku ketua pembangkang.

Minggu ini mata wang ringgit jatuh ke paras terendah berbanding dolar Amerika iaitu RM4.60 bagi setiap AS$1, yang terburuk dalam masa 24 tahun.

Pakar ekonomi menjangkakan ringgit sedang menuju ke paras rendah seperti yang pernah dialami pada 1998.

Ketika itu, ringgit merudum sehingga RM4.885 sehingga memaksa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada masa itu menambat nilainya pada RM3.80.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini menafikan Malaysia dalam krisis ekonomi.

Beliau bagaimanapun mengakui prospek ekonomi pada tahun hadapan akan lebih mencabar bagi semua negara. – 30 September, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen