Umno tak namakan Zahid sebagai PM, kata Ahmad Maslan


Setiausaha Agung Ahmad Maslan menafikan Umno bersetuju menamakan Zahid sebagai PM dan menyifatkan kenyataan tular itu sebagai palsu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2022.

UMNO tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang ia akan menamakan Presiden Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon perdana menteri pada pilihan raya umum akan datang, kata Setiausaha Agung Ahmad Maslan.

Menerusi akaun Twitternya, ahli Parlimen Pontian itu menafikan Umno bersetuju menamakan Zahid dan menyifatkan kenyataan tular itu sebagai palsu.

“Mudah sahaja untuk mengetahui benar atau tidak jika ada kenyataan daripada saya. Periksa semua saluran media sosial saya iaitu Twitter, Facebook, Instagram, Tiktok.

“Jika tiada, maka ianya palsu, fake,” katanya.

Menurut Ahmad, kenyataan palsu itu mula tular selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Zahid daripada 40 pertuduhan dalam kes sistem visa asing (VLN) pada Jumaat.

Kenyataan mendakwan Majlis Kerja Tertinggi Umno akan berjumpa pada 30 September untuk membincangkan cadangan melantik Zahid sebagai calon perdana menteri untuk Barisan Nasional pada PRU15.

Umno sebelum ini mencadangkan Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob yang juga perdana menteri semasa untuk jawatan perdana menteri menjelang PRU15.

Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 million (RM43.68 million) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd ketika menjadi menteri dalam negeri untuk melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pusat sehenti di China dan sistem VLN serta mengekalkan kontrak sebagai pembekal sistem bersepadu VLN.

Dia juga dituduh dengan tujuh pertuduhan rasuah berjumlah S$1.15 million, RM3 million, €15,000 (RM68,995) and AS$15,000 (RM65,854.50) daripada syarikat sama berkaitan tugas rasminya.

Hakim bersidang Yazid Mustafa membuat keputusan yang pendakwaan gagal membuktikan wujudnya kes prima facie terhadap Zahid. – 25 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen