Adakah SPRM akan siasat salah guna kuasa Nik Abduh, tanya Guan Eng


Ahli Parlimen Bachok (PAS) Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menghantar surat meminta bantuan guna tenaga dan aset Majlis Perbandaran Kota Bharu untuk majlis kahwin anaknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2022.

ADAKAH Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat Ahli Parlimen Bachok (PAS) Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz kerana salah guna kuasa berkaitan majlis perkahwinan anak perempuannya, tanya Lim Guan Eng.

Kenyataan Lim itu dikeluarkan selepas SPRM menyerbu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 19 September lepas dipercayai berkaitan projek penahan banjir.

“Adakah Majlis Perbandaran Kota Bharu akan diserbu seperti mana SPRM serbu MBSA,” tanya pengerusi DAP itu lagi.

Media sosial kecoh selepas dilaporkan yang Nik Abduh menghantar surat kepada pihak berkuasa tempatan meminta tenaga kerja bagi membantu majlis kenduri perkahwinan anak perempuannya.

Surat itu yang tular juga meminta kerusi dan meja, antara lain, daripada majlis.

Barangan diminta dihantar ke tempat acara selepas arahan dikeluarkan pengurusan tertinggi majlis. Perkhidmatan lain yang dimohon adalah pengurusan sisa dan kawalan trafik.

Lim berkata pemintaan Nik Abduh untuk kerjasama MPKB juga menimbulkan persoalan salah guna kuasa apabila beliau menggunakan kepala surat rasmi selaku ahli Parlimen Bachok.

“Nik Abduh patut menjelaskan niatnya dengan meminta kerjasama MPKB untuk perkahwinan anak perempuannya,” tambah Lim lagi.

Menurut Lim, Presiden MPKB Rosnazli Amin mengesahkan menerima permohonan kerjasama daripada Nik Abduh tetapi enggan mengesahkan sama ada ia diluluskan.

“Selalunya perkhidmatan majlis tempatan boleh disediakan dengan bayaran atau kadar sewa tertentu yang ditawarkan kepada semua.

“Nik Abduh tidak menawarkan untuk membayar sebarang upah atau sewa dalam surat rasminya. Tidak perlu untuk Nik Abduh menggunakan kepala surat dan statusnya sebagai ahli Parlimen Bachok untuk meminta kerjasama MPKB untuk majlis persendirian keluarganya yang tidak berkaitan dengan tugas awamnya kepada pengundi.

“Inilah sebabnya mengapa SPRM patut menyiasat Nik Abduh dan kemungkinan menyerbu MPKB untuk melihat sama ada terdapat sebarang salah guna kuasa oleh Nik Abduh atau sama ada MPKB cuba menyembunyikan perkara ini.

“SPRM perlu menunjukkan ia tidak mengamalkan pilih kasih antara MPKB dan MBSA,” kata Lim lagi. – 25 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen