Menjawab tuduhan PAS 'tidur dengan semua'


MAKA inilah PAS, yang dituduh kononnya mahu tidur dengan semua pihak, sedangkan usaha PAS hanyalah untuk menyedarkan bangsanya yang sedang tidur.

Dengan penuh hormat, terasa terpanggil untuk menjawab setiap pertuduhan, tohmahan dan sangkaan seorang sarjana tanah air, Dr Rais Hussin dalam makalah terbarunya, “PAS Politics - Sleeping With All Strategy”. Penulisan ini bukanlah berniat untuk bersikap defensif, tetapi sekadar memurnikan kefahaman dan meraikan perbezaan pandangan, selaras dengan budaya intelek yang mengiktiraf hak memberikan pandangan, dan kesediaan untuk menerima pandangan balas. Maka terserahlah kepada audien untuk menilai mana yang kaca, mana yang permata.

Pertama, penulis menyebut di dalam “thesis statement” beliau bahawa, “Political and religious discussions are two of the most divisive issues in the world. As and when they are broached, these two topics can split human communities, even families, apart”. Tidakkah pernyataan ini amat tersimpang daripada kefahaman Islam yang menginsafi tujuan penciptaan Nabi Adam A.S. sebagai “Khalifah” di muka bumi (Al-Baqarah: 30), dan ditakrifkan kalimah “Khalifah” itu sebagai suatu tanggungjawab untuk “menegakkan Agama dan memakmurkan bumi dengan Agama”.

Memadai dengan menghayati firman ini, dapatlah kita fahami bahawa urusan menegakkan Agama (yakni Islam) serta urusan memakmurkan kehidupan (siyasah) adalah kemuncak matlamat penciptaan dan kerukunan hidup setiap manusia, jika diadun sebaiknya.

Adapun ungkapan yang menyatakan agama (Islam) adalah punca masyarakat dan keluarga berpecah-belah adalah ungkapan sama yang dilaungkan para pembesar dan sarjana Arab Mekah suatu ketika dahulu, tatkala Nabi Muhammad S.A.W. menyeru kaumnya kepada Agama yang mentauhidkan Allah dan memurnikan ajaran Nabi Ibrahim A.S. yang telah diselewengkan di zaman itu. Sedangkan Al-Quran dengan jelas memerintahkan umat Islam untuk berpegang teguh dengan tali (ajaran) Allah, dan jangan sesekali berpecah-belah (Ali-Imran: 103).

Malah amat malang apabila penulis dengan tajam mensasarkan suatu sosok dengan menyatakan,

“Yet, there is something even more toxic than the above: Political and religious discussions that are led by a cult of religious and political personality. That label, unfortunately, belongs to Hadi Awang, the president of PAS”.

Terzahir isi hati penulis yang penuh toksid terhadap keperibadian Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHH). Tidak perlulah penulis menzahirkan wajah orientalis dan sekularis yang mahu memisahkan urusan politik dan agama, apatah lagi janganlah dizahirkan watak “petualang bangsa” di zaman Mat Kilau yang secara halus meracuni pemikiran anak bangsa supaya melaksanakan tuntutan agama secara separuh-separuh, dan menyelinap masuk di setiap kabilah untuk menghalang usaha permuafakatan dan persepakatan bangsa, dihasutnya supaya janganlah bersatu dan kekal bersengketa.

Kedua, penulis menggariskan lima asas bagi menyokong “thesis statement” beliau, antaranya:

Penulis mempersoalkan sikap TGHH dalam penghakiman kes Najib Razak, “Yet to date, almost a month after the guilty verdicts of both culprits who stole millions of Ringgit Malaysia from the people and /or government treasury, Hadi has remained sheepishly quiet”. Jawapannya, sila rujuk kenyataan rasmi PAS bertarikh 24 Ogos 2022 yang mewakili pendirian rasmi parti, dan sila rujuk Ucapan Dasar Presiden PAS pada Muktamar PAS bertarikh 3-4 September 2022, serta disilang- rujuk dengan teks Ucapan Dasar Presiden bagi tahun-tahun terdahulu, termasuklah ratusan artikel “Minda Presiden” yang disiarkan hampir setiap minggu.

Pastinya penulis akan menjumpai ketegasan dan konsistensi PAS dan TGHH dalam menangani isu rasuah, salahguna kuasa dan integriti yang dibangkitkan ini, termasuklah pendirian PAS dalam isu 1MDB dan kes rasuah melibatkan pemimpin Umno, juga kes rasuah melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Muda, serta pengguguran banyak kes melibatkan pemimpin PH di bawah pentadbiran 22 bulan PH sebelum ini.

Berikutnya, penulis berkata, “Hadi has consciously chosen to be “dumb, deaf and mute.” Not only that, he sends his deputies to strike a deal with Umno pre-GE15 which many in Umno resisting as they know PAS’ “sleeping with all-strategy” to maximise position and power it can have”. Jawapannya, sila rujuk usul yang diluluskan Muktamar PAS, serta ketetapan Majlis Syura Ulama PAS dan Jawatankuasa PAS Pusat yang mempertegaskan usaha mengukuhkan perpaduan ummah, dengan memperkasakan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional sebagai wasilah ke arah matlamat tersebut semata-mata, bukannya demi mempertahankan kuasa.

Seterusnya, penulis mengaitkan prosiding kes rasuah pemimpin PH, “Should ex-chief minister of Penang Lim Guan Eng, the chairman of the Democratic Action Party (DAP) be convicted by any corruption one day over the building of the Penang tunnel from the mainland to the island, there will be zero interference from PH”. Ini secara jelas menunjukkan kepuraan dan pendustaan PH dalam menangani isu rasuah dan salah guna kuasa.

Di pihak PAS, terbukti sepanjang tempoh lebih 32 tahun (bukannya 22 bulan) pentadbiran PAS di Kelantan, rekod bebas rasuah dan ketinggian integriti Menteri Besar dan sekalian EXCO diperakui oleh SPRM, malah beberapa jabatan dan agensi Kelantan mendapat penarafan 4-5 bintang dalam Laporan Ketua Audit Negara. Terkini PAS mempamerkan prestasi 3 Menteri, 5 Timbalan Menteri dan 3 Menteri Besar untuk dinilai rekod bersih secara praktikal, bukan retorikal seperti PH, Muda dan sekutunya yang berselindung di sebalik slogan anti-rasuah yang indah, namun terpalit dengan 1001 tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan salah laku moral yang busuk dan menjijikkan.

Tambah penulis, “Hadi has not affirmed that the act of “Kafir Mengkafir” or to accuse others as infidels is patently wrong and forbidden by Islam as the basis of any discourse”. Perlu difahami konteks penyampaian ilmu Tawhid dan Aqidah yang menjelaskan batas-batas Islam, Iman, kufur dan munafiq, yang diberikan penekanan oleh TGHH secara umum tanpa menyatakan secara spesifik individu tertentu mahupun kabilah tertentu yang telah jatuh kafir mahupun murtad. Inilah pendekatan ilmuwan Islam sejak zaman berzaman bagi menjaga kemurnian Aqidah umat Islam daripada ancaman bida’ah, khurafat dan ideologi moden (kapitalisma, komunisma, sekularisma) yang tersimpang daripada Aqidah Islam yang sebenar.

Selain itu dikatakan, “Hadi has in his own way, selective or otherwise, perjured the good name of Islamic jurisprudence”. Jawapannya, prinsip yang diambil oleh PAS dalam setiap pertuduhan, samada ke atas rakan mahupun lawan, adalah prinsip keadilan universal iaitu, “Seseorang adalah tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah”, dan PAS sesekali tidak menjadikan media sebagai mahkamah untuk menjatuhkan hukuman, apatah lagi mengaibkan pihak tertuduh sebelum dibuktikan bersalah oleh mahkamah yang adil.

Malah penulis dilihat bersikap selektif dengan berkata, “Hadi and PAS have not touched on any of these issues (corruption, Coronavirus, climate change, trade wars between China and the West, clash of Ukraine and Russia) over the last two years since PAS has decided to inter-breed with a government that was undemocratically formed from under the nose of Pakatan Harapan”. Sekali lagi jawapannya, sila rujuk ratusan artikel ‘Minda Presiden’ sejak tahun 2018 yang disiarkan hampir setiap minggu, meliputi tajuk politik dan sosio-ekonomi tempatan, politik antarabangsa (antaranya isu Palestin, Timur Tengah, krisis Afghanistan, Rusia-Ukraine, Armenia-Azerbaijan), termasuklah isu vaksin Covid-19 serta langkah-langkah pencegahannya.

Sebagai penutup, seandainya penulis memilih untuk masih terkeliru dengan strategi semasa yang diambil oleh PAS, izinkan saya menjelaskannya di sini.

Dasar PAS ialah ISLAM, yakni ISLAM yang syumul (Fasal 3 Perlembagaan PAS). Usaha PAS ialah mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada yang mungkar (Ali-Imran: 104). Pendekatan PAS ialah mengambil jalan politik dakwah dan berdepan secara damai (An-Nahlu: 125), mengikut sepenuhnya lunas demokrasi berparlimen di Malaysia. Strategi PAS sifatnya anjal, melangkaui kepentingan politik kepartian dan kebangsaan (asabiyyah) yang sempit, berdasarkan prinsip Islam yang jitu ke arah mewujudkan sebuah pemerintahan yang adil dan berkebajikan (Al-Hajj: 41).

Terkini, melihat kepada perpecahan umat Islam yang tidak berkesudahan, maka PAS mengatur langkah dengan cermat untuk menjalin kerjasama politik di atas prinsip Ta’awun Siyasi, iaitu bekerjasama dalam perkara kebajikan dan Taqwa, dan tidak sesekali bekerjasama dalam perkara dosa dan permusuhan (Al-Maidah: 2), serta diajak kalangan bukan-Islam yang tidak melampau untuk memelihara keharmonian dan kestabilan dalam negara (As-Hujurat: 13).

Justeru di atas ketetapan ini PAS bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak – pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, tokoh masyarakat, dan parti politik Melayu-Islam; malah bersedia untuk menghulurkan salam persahabatan dan perdamaian kepada kabilah yang penuh sejarah silam yang sukar dimaafkan, namun diketepikan demi mengukuhkan perpaduan dalam kalangan umat Islam terlebih dahulu, untuk diajak kembali berpegang kepada ajaran Islam yang sempurna, berpaksikan aqidah yang murni, syariat yang sejati, akhlak yang terpuji, dan integriti yang tinggi.

“Bergeraklah ke gerbang jasa, kalah menang bukan alasannya, sucikanlah niat di hati, hingga nyata benarnya janji Rabbi” – petikan lagu rasmi PAS.

Maka inilah PAS, yang dituduh kononnya mahu tidur dengan semua pihak, sedangkan usaha PAS hanyalah untuk menyedarkan bangsanya yang sedang tidur, bukannya menjadi ‘petualang bangsa’ yang mahu melihat bangsanya terus tidur, malah lebih malang sanggup pula tidurnya dengan pihak musuh.

Semoga Allah memelihara Malaysia. – 23 September, 2022.

* Syahir Sulaiman, Setiausaha Politik Presiden PAS

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen