Jangan susahkan penjawat awam demi seorang banduan VIP


SELEPAS drama melibatkan penghinaan dan serangan terhadap penjawat awam di dalam badan kehakiman, Najib Razak yang disabitkan kesalahan atas jenayah pecah amanah dan rasuah nampaknya terus menyusahkan penjawat awam.

Beberapa dakwaan layanan istimewa untuk bekas perdana menteri tersebut kini timbul dan tular, melibatkan penjawat awam yang berkhidmat dengan Jabatan Penjara Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Terdapat dakwaan bahawa tekanan diberikan kepada Jabatan Penjara dalam memberikan layanan istimewa kepada Najib yang melibatkan pengubahsuaian ruang penjara hanya kerana statusnya sebagai VIP.

Kakitangan awam di KKM pula dibabitkan dalam menguruskan isu kesihatan beliau dan terdapat dakwaan mengenai rancangan untuk meletakkan bekas perdana menteri itu ke Hospital Rehabilitasi Cheras bagi memudahkannya menerima tetamu dan mendapat kemudahan VIP.

Kerajaan juga perlu menjawab dakwaan campur tangan pihak kerajaan dalam pengendalian urusan kesihatan yang melibatkan Najib.

Terdapat dakwaan bahawa arahan terus daripada pihak tertinggi kepada penjawat awam bagi memastikan layanan istimewa dapat diberikan kepada Najib sepanjang 12 tahun menjalani hukuman penjara.

Menteri dalam negeri juga perlu tampil memberi penjelasan terhadap dakwaan peruntukan RM3.5 juta termasuklah RM50 ribu bagi mengubahsuai bilik penjara untuk Najib di penjara Kajang.

Peruntukan perbelanjaan pembangunan untuk pembaikan dan ubahsuai penjara dalam Belanjawan 2022 hanya sekadar RM12.4 juta.

Maka, sekiranya benar, bagaimana boleh RM3.5 juta digunakan hanya untuk seorang banduan di satu penjara sahaja? Peruntukan sebesar ini sepatutnya digunakan untuk menaik taraf secara keseluruhan penjara di seluruh Malaysia.

Pihak berkuasa sememangnya patut memastikan mana-mana banduan yang menjalani hukuman mereka di penjara diberikan layanan yang adil dan baik.

Tetapi layanan istimewa melampaui norma biasa dan tekanan luar biasa yang diberikan kepada penjawat awam yang terlibat dalam pengurusan banduan hanya demi keselesaan seorang banduan VIP, sekiranya benar, amat tidak wajar.

Jika dakwaan ini tidak dijawab dengan memuaskan, ia akan menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi yang berkaitan serta memberi kesan kepada moral penjawat awam dalam menjalankan tanggungjawab mereka. – 23 September, 2022.

* Syahredzan Johan, AJK Pusat DAP.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen