Menunggu laporan siasatan buku Tommy Thomas


KELMARIN, 18 September, tular di media sosial laporan portal berita mengenai kenyataan bekas peguam negara Tommy Thomas, bahawa “Kerajaan Melayu” sudah gagal.

Turut dinyatakan nasihat bekas peguam negara itu kepada Pakatan Harapan (PH) tentang apa yang ia perlu lakukan untuk menghadapi dan memenangi PRU15.

Kenyataan ini dibuat di Forum “Dark Forces Towards GE15” anjuran Gerak Budaya di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Dan Selangor (KLSCAH) pada 17 September.

Intipati ucapan Tommy di forum itu adalah bahawa parti-parti pembangkang hari ini mampu membawa angin perubahan dan mengulangi kemenangannya dalam PRU15.

Perkara pertama yang dinasihati oleh beliau ialah supaya pembangkang menjadikan “kegagalan Kerajaan Melayu” yang menggantikan Kerajaan PH sejak dua setengah tahun lalu sebagai isu.

Kata beliau, walaupun Kabinet sekarang didominasi sepenuhnya oleh orang-orang Melayu, tetapi ia memerintah dengan teruk, tidak lebih cekap dan lebih bagus berbanding Kerajaan PH.

Perkara kedua yang dinasihati oleh beliau ialah supaya pembangkang menjadikan rasuah sebagai isu kerana sekarang rasuah dikatakan lebih teruk berbanding zaman sebelum ini.

Dakwa beliau, kedua-dua kerajaan selepas Kerajaan PH terlibat sepenuhnya dengan aktiviti-aktiviti rasuah, transaksinya terlalu banyak manakala agensi-agensi tidak melakukan apa-apa.

Seterusnya, kedua-dua kerajaan selepas Kerajaan PH didakwa paling teruk menguruskan ekonomi, sekarang ekonomi paling lemah, hutang paling tinggi dan matawang paling rendah.

Sebenarnya tidak ada yang pelik bila Tommy melabelkan kerajaan yang menggantikan Kerajaan PH sebagai “Kerajaan Melayu” serta mengkritik kerajaan tersebut sebagai gagal.

Dalam buku beliau bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” yang dipasarkan pada Januari 2021 perkara ini telah dinyatakan oleh beliau walau tanpa disediakan justifikasi.

Disebut pada muka surat 510 bukunya mengenai pakatan parti-parti “Malay-centric” selepas Kerajaan PH yang didakwa telah membawa bencana (disastrous consequences) kepada negara.

Peliknya, seperti beberapa kenyataan beliau yang lain, malah di dalam ucapan mutakhir beliau ini juga, tidak disebut atau disenaraikan pula apakah yang dikatakan sebagai bencana itu.

Cuma pada muka surat 507 bukunya ada dinyatakan mengenai Bajet 2021 yang dibentangkan oleh Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November 2020.

Disebutkan oleh beliau bahawa Bajet 2021 mengesampingkan kaum Cina dan kaum India yang hanya diberikan peruntukan RM170 juta dan RM100 juta berbanding kaum Melayu.

Ini, dakwa beliau, adalah satu bukti yang menunjukkan bahawa kerajaan ini hanya berminat dengan tapaknya: tanah hati Melayu (was solely concerned with its base: the Malay heartland).

Melucukan sekali kerana Kerajaan PH melalui Bajet 2020 yang dibentangkan oleh Lim Guan Eng pada 11 Oktober 2019 juga sebenarnya memberikan peruntukan hampir sama.

Ini kerana peruntukan bantuan khusus kepada kaum Cina dan kaum India yang terkandung di dalam Bajet 2020 pun hanyalah berjumlah RM185 juta dan RM120 juta sahaja.

Selaku seorang bekas peguam negara, tidak sepatutnya Tommy membuat dakwaan sembrono terhadap perjalanan kerajaan tanpa memberikan pembuktian dan perincian kepadanya.

Paling melucukan ialah bila Tommy sekarang ini mahu menaikkan semula PH menjadi sebuah kerajaan sedangkan di dalam buku beliau PH inilah yang teruk dikritik oleh beliau.

Perlu dilihat balik siapakah yang sebelum ini menyelar keras PH sebagai sebuah kerajaan yang lemah, yang gagal dan yang tidak mempunyai “political will” untuk membuat ‘reform’?

Berikut adalah petikan-petikan daripada buku Tommy sendiri:

1.    “PH certainly was not keen on pushing legislative reform.”

2.    “These laws were not repealed simply because there was insufficient political will on the part of the PH cabinet.”

3.    “Those advocating repeal were not clear in their minds as to what they wished to achieve, and how.”

4.    “There was a complete absence of engagement with civil society.”

5.    “U-turns by the PH cabinet on major executive decisions exhibited weakness.”

Bandingkanlah pula dengan “Kerajaan Melayu” yang dikatakan sudah gagal ini, sudah berapa banyak ‘reform’ dan ‘engagement’ yang ia laksanakan walaupun ia tidak dijanjikan?

Oleh itu, tidak konsisten malah kelakar sekali bila Tommy dikatakan mahu menasihatkan PH sedangkan beliau sendiri mengkritik teruk pentadbiran Kerajaan PH sebelum ini.

Perkara yang lebih penting ditanyakan ialah apakah PH, yang kini dipengerusikan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim mahu mendengar nasihat Tommy ini?

Perlu diingat, pada 12 Jun lalu, Anwar telah dilaporkan berkata: “Tommy juga harus melihat cermin kerana ketika menjadi peguam negara dan dalam bukunya, unsur perkauman tebal serta menghina keupayaan penjawat awam termasuk Jabatan Peguam Negara dengan melabel keseluruhannya secara melampau.”

Lebih jauh lagi, Anwar dilaporkan menempelak Tommy yang didakwa membuat tuduhan tanpa bukti terhadap Allahyarham Abdul Razak Hussein apabila mendakwa perdana menteri kedua itu sebagai punca rusuhan kaum 13 Mei 1969 dengan menyebut: “Sebagai mantan peguam negara, tak tahu peranan dia, tanpa bukti menyerang Tun Razak.”

Sementelahan pula, Dr Mahathir Mohamad sendiri pada 5 Februari 2021 turut menyatakan penyesalan beliau kerana melantik Tommy dengan menyebut: “I thought that Tommy would become a good professional AG… At that time I thought that it would be a new experience to have an AG who is professional, I thought he was… If I knew that this would happen I would have selected somebody else of course”.

Dalam konteks inilah maka ramai sekali yang sedang tertunggu-tunggu laporan pihak Pasukan Petugas Khas Siasatan atas dakwaan dalam buku Tommy dibentangkan di Kabinet. – 20 September, 2022.

* Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff, Pegawai Khas Perdana Menteri.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen