Hilang waras desak pilihan raya di tengah banjir


DESAKAN yang dibuat oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk mengadakan pilihan raya umum semasa musim banjir adalah desakan orang yang hilang kewarasan.

Tindakan ini juga sekali gus memaparkan sikap sebenar Umno-Barisan Nasional (BN) dalam menentukan percaturan kuasa negara dan langsung tidak memikirkan kesusahan rakyat.

Yang penting, mereka ingin mendapatkan semula kuasa memerintah negara untuk melepaskan tengkuk kluster mahkamah dalam kalangan pimpinan Umno yang bukannya seorang tetapi berjemaah dari kepala hingga ke ekor.

Negara sepatutnya mengambil iktibar daripada kegagalan pihak kerajaan BN dan Perikatan Nasional (PN) dalam mengendalikan bencana banjir hujung tahun 2021 sehingga menyebabkan kehilangan nyawa dan harta benda jutaan ringgit di mana kesannya masih ada yang belum dapat dipulihkan sepenuhnya sehingga ke hari ini. 

Apatah lagi bila sudah ada amaran Jabatan Meteorologi kemungkinan berlaku banjir besar disebabkan faktor La Nina dan perubahan iklim yang sedang melanda dunia.

Dalam situasi ini, sebuah kerajaan yang bertanggungjawab sepatutnya sedang sibuk membuat persiapan menghadapi sebarang kemungkinan banjir besar dengan melengkapkan data-data sumber negara yang diperlukan untuk menggerakkan kerja-kerja menyelamat dan pemindahan bagi mengurangkan kesan banjir kepada rakyat.

Di samping itu kerja-kerja membersihkan saliran parit dan longkang juga sepatutnya digiatkan oleh pihak kerajaan tempatan bagi mengelakkan banjir kilat semasa hujan lebat. 

Semua aktiviti kerja tanah dari projek pembangunan perlu dipantau dengan lebih kerap dan tegas. Pemantauan dan pemeriksaan ke kawasan-kawasan cerun dan kawasan sensitif alam sekitar perlu dibuat. 

Tahap kesiapsiagaan ini yang perlu diumumkan oleh perdana menteri kepada rakyat dalam masa terdekat dan bukannya tarikh pembubaran Parlimen.

Rakyat Malaysia sepatutnya sudah dapat menilai sikap rakus, terdesak dan gila kuasa Umno-BN dalam usaha ingin merampas semula kuasa pemerintahan tanpa sedikit pun rasa tanggungjawab terhadap nasib rakyat dan kemusnahan negara.

Umno sudah tidak lagi mendapat mandat rakyat di dalam Pilihan Raya Umum ke-14 tetapi telah kembali semula berkuasa melalui kerajaan pintu belakang setelah diberi laluan mudah oleh kerajaan PN melalui Langkah Sheraton. 

BN dan PN perlu ditolak sepenuhnya di dalam pilihan raya umum akan datang kerana kedua-duanya sudah tidak lagi memperjuangkan nasib rakyat.

* Che Asmah Ibrahim, ketua Wanita Gerakan Tanah Air merangkap ketua Pejuanita Pejuang. – 19 September, 2022.     

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen