Dr Mahathir tidak keseorangan


GERAKAN Tanah Air yang juga dikenali sebagai Tanah Air merupakan sebuah gerakan politik massa yang inklusif.

Inklusif yang dimaksudkan bukan hanya teori atau tema, tetapi dizahirkan dalam bentuk penglibatan secara aktif di mana peranan ahli politik diseimbangkan dengan peranan golongan profesional dari kalangan badan bukan kerajaan (NGO), bekas pegawai kakitangan awam, tokoh masyarakat, cendekiawan dan lain-lain.

Keseimbangan inilah yang mengukuhkan konsep inklusiviti dalam Tanah Air agar pendekatan politik dan profesional dapat dimanfaatkan untuk memperbaiki dan memperkemas semula pentadbiran kerajaan.

Dengan pendekatan ini juga ia akan dapat mempercepatkan proses membersihkan pentadbiran daripada elemen rasuah yang bersarang dalam kerajaan hari ini.

Apabila proses pembersihan ini dapat dilakukan dengan segera, maka usaha untuk memulihkan ekonomi dan bantuan kepada rakyat, dapat dilaksanakan dengan pantas.

Pentadbiran yang baharu bukan sahaja perlu menyelesaikan masalah backlog dan segala masalah ketirisan yang lain, malah dengan gabungan pimpinan yang baharu dan bersih ini akan dapat memulihkan kembali tahap keyakinan masyarakat dan pelabur ke tahap yang lebih tinggi kerana kestabilan politik Malaysia.

Jika diizinkan Allah, apabila Tanah Air diberikan mandat oleh rakyat untuk menjadi kerajaan, kepakaran Dr Mahathir Mohamad sebagai negarawan masih diperlukan untuk memimpin pentadbiran kerajaan buat kali ketiga dan mungkin yang terakhir.

Sungguhpun kita memahami usia dan kudrat yang ada padanya tidak lagi sama seperti kekuatan beliau 10-20 tahun yang lalu, namun kebijaksanaan dan pengaruh beliau khususnya dalam mengurus pelbagai krisis yang rumit dan terdesak, masih lagi relevan.

Malah beliau sendiri menganggap penglibatan beliau kali ini sebagai suatu jihad dan ibadah dalam hidupnya demi memulihkan negara daripada kepimpinan yang rosak dan merosakkan.

Dan pada kali ini, kemampuan Tanah Air sebagai sebuah kerajaan yang dianggotai oleh pemimpin politik dan tokoh profesional, akan dapat memberi dukungan dan bantuan yang kuat kepada Dr Mahathir. Dr Mahathir tidak akan keseorangan.

Kepada rakyat, inilah peluang yang julung kali muncul di mana kita sebagai pengundi diberi peluang untuk memilih wakil rakyat dari kalangan Melayu Islam yang profesional, amanah, bersih dan cekap untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan yang lemah dan kotor ini.

Justeru, dengan adanya gabungan pimpinan yang inklusif dan berkualiti ini, ia pasti akan mempermudahkan lagi peranan Dr Mahathir untuk mentadbir kerajaan. Tanah Air akan menyediakan pelapis pimpinan yang mampu menggalas tugas besar dan sukar ini. Insya-Allah.

* Mahdzir Ibrahim, Timbalan Ketua Penerangan GTA.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen