Ekonomi orang Melayu, masa depan dan GTA


KENYATAAN yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan jelas membuktikan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak faham konsep dan matlamat penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA) tetapi lebih memberi fokus kepada pegangan kuasa, isu politik dan menyokong perasuah-perasuah dan penyalahguna kuasa.

Takiyuddin mengeluarkan kenyataan selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di SMK Sultan Ismail. Mengikut beliau, PAS tidak akan menyertai GTA, dengan alasan GTA bukanlah daripada parti dominan dan telah pun mempunyai gabungan sendiri.

GTA adalah gerakan orang Melayu untuk mengubah nasib dan masa depan bangsa Melayu, dan bukanlah satu permainan politik. 

Kemiskinan pasca pandemik adalah satu realiti dan hakikat yang perlu diterima dan diatasi, dan ia tidak mungkin akan selesai dengan sendirinya tanpa wawasan dan tindakan oleh kerajaan.

Kalau PAS mengutamakan ekonomi dan masa depan orang Melayu, PAS harus bersama dengan GTA dan bersama untuk mengubah landskap ekonomi bangsa Melayu.

Di Kelantan negeri yang diterajui oleh PAS, kitaran kemiskinan amat nyata dan tiada penyelesaian. Kebanyakan generasi muda terhindar dari kemajuan akibat kemiskinan. 

Anak-anak di bangku sekolah terpaksa membantu ibu dan bapa berniaga untuk mencari sesuap nasi, dan tidak dapat memberi fokus serta tumpuan kepada sekolah dan pembelajaran. Ramai yang tidak sempat tamat pelajaran sekolah menengah atau tamat dengan keputusan peperiksaan yang lemah.

Tanpa pengajian tinggi, anak-anak mereka akan mengalami nasib yang sama seperti ibu bapa mereka dan kitaran ini akan berterusan ke generasi-generasi akan datang.

Struktur dan hala tuju ekonomi negeri Kelantan juga tidak dapat menjana pendapatan kepada kerajaan negeri dan tidak dapat menjana permintaan untuk mewujudkan pekerjaan atau ekosistem perniagaan. 

Kerajaan negeri terpaksa menggadai tanah-tanah balak dan mengeluarkan permit-permit menjual pasir yang tidak menguntungkan Kelantan.

Pentadbiran kerajaan negeri juga mengambil langkah yang mudah untuk mentadbir dengan menswastakan tempat letak kenderaan dengan caj bayaran dan denda yang jauh lebih tinggi berbanding negeri-negeri yang lebih maju. 

Caj-caj dan bayaran denda ini juga tidak menguntungkan kerajaan negeri tetapi lebih menguntungkan syarikat swasta itu dan membebankan rakyat. 

Penswastaan ini juga mengurangkan peluang kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan hasil yang lebih.

Peratusan tanah rizab Melayu di Kelantan adalah yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain. Bagaimanapun, kami risau apabila menerima laporan tanah-tanah rizab Melayu ini dengan jumlah yang agak besar, telah dipajak kepada golongan bukan Melayu dan bukan dari orang tempatan. 

Dengan jumlah tanah yang dipajak kepada golongan bukan Melayu dan bukan tempatan, peluang untuk orang-orang Melayu menjana pendapatan dari tanah-tanah negeri Kelantan semakin tipis.

Oleh sebab itu, memartabatkan kuasa pembeli dan ekonomi orang-orang Melayu menjadi salah satu dari matlamat utama gerakan orang-orang Melayu di bawah GTA. 

Prinsip bersih, cekap dan amanah akan memastikan perlaksanaan yang telus tanpa rasuah, salah guna kuasa dan lebih berkesan. 

Penyatuan orang Melayu termasuk ahli dan penyokong PAS dalam memperjuangkan ekonomi dan taraf hidup orang Melayu akan lebih menjamin perubahan terutamanya dari segi struktur ekonomi.

GTA juga disertai oleh individu dan NGO Melayu dari pelbagai kluster. Pembabitan NGO dari 12 kluster berlainan ini dapat memberi impak yang besar kerana NGO tersebut adalah pihak yang punyai kepakaran yang relevan dan lebih peka kepada keperluan dan isu-isu industri. 

Kalau kebiasaannya NGO terpaksa membentangkan masalah mereka kepada kementerian-kementerian untuk dipertimbangkan, melalui GTA mereka akan menjadi sebahagian dari pembuat dasar. Ini akan menjadi pemangkin kepada struktur ekonomi baru yang akan diperkenalkan.

Kami percaya ahli dan penyokong PAS juga sudah bosan dengan masalah air di Kelantan dan Kedah, dan mahukan sebuah kerajaan yang mampu menanganinya. Jelas kerajaan negeri pimpinan PAS gagal untuk menggalas tanggungjawab ini.

Perubahan hanya boleh berlaku melalui gerakan orang Melayu yang bersatu. – 13 September, 2022.     

* Armin Baniaz Pahamin, ahli Majlis Eksekutif Pusat, pengerusi Biro Ekonomi Malaysia Pejuang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen