Patuhi fatwa haram merokok


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa umat Islam di Malaysia mematuhi peraturan dalam Islam atau fatwa, yang dikeluarkan lebih 20 tahun lalu yang melarang menghisap rokok, selaras dengan ajaran Islam yang menggalakkan umatnya untuk tidak memudaratkan diri sendiri dan orang lain.

Fatwa melarang menghisap tembakau mula dikeluarkan pada 23 Mac 1995 apabila Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia membincangkan isu berkaitan merokok dari sudut pandangan Islam dan memutuskan bahawa merokok dilarang dalam Islam kerana ia membahayakan. 

Ini diikuti pada 2015 apabila Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa yang mengisytiharkan rokok elektronik (e-rokok) sebagai haram.

Walaupun terdapat fatwa mengenai merokok, ramai umat Islam mengambil ringan mengenainya. Apa yang lebih membimbangkan lagi ialah pelajar sekolah turut terpengaruh dengan tabiat ini.

Al Quran tidak secara khusus melarang atau mengecam merokok, tetapi memberikan panduan mengenai tingkah laku: “dan janganlah kamu jatuhkan (diri sendiri) ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri…” (Al Baqarah 2:195)

“makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan.” (Al A’raf 7:31)

“Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sungguh, Allah Maha Penyayang kepadamu.” (An-Nisa 4:29)

Tidak diragui lagi bahawa merokok itu membunuh seperti mana yang didedahkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa Malaysia merekodkan 400
kematian seminggu akibat merokok, seperti kanser, strok atau penyakit jantung. 

Dianggarkan terdapat 7 juta perokok di Malaysia yang di samping mempunyai risiko tinggi mendapat penyakit yang membunuh ini, mungkin menderita daripada gejala seperti kesukaran bernafas, berdehit atau sakit dada.

Semua bentuk tembakau berbahaya, dan tiada paras selamat pendedahan kepada tembakau. Menghisap rokok merupakan bentuk penggunaan tembakau paling biasa di seluruh dunia. 

Produk tembakau lain termasuklah tembakau paip air, pelbagai produk tembakau tanpa asap, cerut, rokok, tembakau gulung sendiri, tembakau paip, bidi dan kretek.

E-rokok atau rokok elektronik adalah peranti yang kelihatan sama dengan rokok tradisional. Ia pada umumnya terdiri daripada satu unit yang digunakan sehingga habis dan kemudiannya dibuang.

“E-rokok”, “Pen Vape”, “Juul”, dan sebagainya, semuanya dirujuk pada kelas produk yang sama, dengan “e-rokok” adalah produk itu sendiri dan “menghisap vape” adalah merujuk kepada penggunaan produk.

Menurut perangkaan yang boleh didapati, bilangan rakyat Malaysia yang menggunakan sistem penyampaian nikotina elektronik (ENDS) termasuk e-rokok dan vape meningkat dua kali ganda kepada 1.2 juta pada 2019 daripada 600,000 pada 2016.

Kemunculan ENDS datangnya daripada industri tembakau yang mencari produk “kurang bahaya” kerana peningkatan tekanan ke atas merokok yang semakin meningkat daripada kesedaran kesihatan awam.

ENDS hanya didapati secara komersial di Malaysia pada 2015.

E-cecair yang digunakan oleh ENDS sering mengandungi nikotina, bahan kimia yang amat toksik dan menagihkan, sebagai bahan ramuannya.

Nikotina yang digunakan dalam ENDS boleh terdapat dalam bentuk nikotina asas bebas, garam nikotin, atau campuran daripadanya.

Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM) melaporkan bahawa ia menerima hampir 30 kes keracunan berkaitan menghisap vape antara 2015 dan 2020.

Terdapat enam kes dilaporkan pada 2019 dan bilangan kes meningkat dua kali ganda pada 2020 kepada 13 kes. 

Kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak berusia antara satu dan empat tahun, paling muda ialah 4 bulan.

Pengambilan e-cecair boleh membunuh dan perisanya amat memikat kepada kanak-kanak.

Oleh itu, amat mengejutkan apabila pengedar vape membantah Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 walaupun Islam dengan jelas melarang menghisap produk tembakau.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tembakau membunuh lebih daripada 8 juta orang setiap tahun.

Lebih 7 juta kematian adalah akibat penggunaan tembakau secara langsung sementara sekitar 1.2 juta akibat daripada bukan perokok yang terdedah kepada asap rokok kedua iaitu perokok pasif.

WHO berkata pengguna tembakau yang mati awal menyebabkan keluarga mereka kehilangan pendapatan, meningkatkan kos penjagaan kesihatan dan menghalang pembangunan ekonomi. 

Banyak kajian yang dilakukan ke atas kesan merokok menunjukkan kaitan antara penyakit kardiovaskular dan pernafasan, termasuklah penyakit jantung koronari, dan kanser paru-paru.

Memandangkan merokok membawa lebih banyak bahaya daripada kebaikan, CAP menggesa pihak berkuasa agama untuk:

Mengambil langkah untuk membendung merokok terutama sekali dalam kalangan umat Islam.

Mewujudkan kesedaran mengenai merokok dan bahaya yang dibawanya.

Mengingatkan umat Islam mengenai Fatwa yang melarang merokok, para pendakwah perlu memberikan keutamaan kepada isu ini.

Isu ini perlu diketengahkan ke peringkat antarabangsa, terutama sekali dalam kalangan negara Islam. Perbincangan mengenai perkara ini perlu dibawa kepada perhatian

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang terdiri daripada hampir 60 negara Islam, di mana konsensus mengenai larangan merokok perlu dibuat demi untuk kebaikan umat Islam di seluruh dunia.

Sementara itu, CAP menggesa semua kementerian, agensi dan jabatan di Malaysia bersatu menentang merokok dan tidak bekerja menentang satu sama lain dengan cara yang tidak produktif. Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan untuk:

* Meneruskan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap larangan merokok di tempat awam, dan untuk terus mengeluarkan denda seperti mana yang ditetapkan di bawah undang-undang.

Denda ini adalah selaras dengan falsafah preskripsi denda kita bagi pelbagai tindakan yang membahayakan orang ramai dan kesihatan kita seperti melanggar had kelajuan dan tidak memakai topi keledar. 

* Menyatukan semua kementerian, jabatan dan agensi bagi menentang tembakau.

Kita mestilah mencapai sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi prevalen merokok 15% menjelang 2025 dan memenuhi komitmen kita terhadap Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) WHO, yang diratifikasikan pada 2005.

* Hapuskan ekonomi dan politik daripada keputusan yang melibatkan tembakau, dan memberikan tumpuan hanya kepada unsur kesihatan, kesihatan awam, saintifik, keagamaan dan keadilan.

Merokok membunuh dan kita mestilah menghentikannya untuk mencapai wawasan Sihat Bersama 2030. Kami mahukan rakyat Malaysia hidup lama, sihat dan makmur. 

Oleh sebab itu, kami berdiri teguh menentang kesengsaraan oleh tembakau dan menggesa kerajaan melindungi rakyat dan memimpin dunia dalam usaha kami untuk menghentikan merokok.

Kami menggesa agar ahli Parlimen supaya menyokong Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di Parlimen dan tidak tunduk kepada tekanan daripada pelobi tembakau dan vape.  – 13 September, 2022.

*Mohideen Abdul Kader, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen