Buat kebajikan tanpa menjadi porno


TIDAK kira faktor kukuh atau tidaknya fahaman agama yang anda anut, dorongan untuk berbuat kebajikan selalunya melekat dalam diri setiap insan.

Kita patut memberikan penghormatan kepada individu yang hidupnya penuh usaha ke arah kebajikan kerana mereka wira yang mencegah dunia menjadi lebih teruk.

Ketika seseorang atau mana-mana komuniti itu melakukan kebajikan, maka mereka tidak hanya menolong pihak yang terjejas,tetapi juga menolong diri dan komunitinya sendiri.

Sudah menjadi hukum alam bahawa kita akan menuai apa yang disemai. Dalam karya Rhonda Bryne tentang hukum tarik menarik, diterangkan bahawa kebaikan akan selalu menarik kebaikan yang lebih besar.

Prinsip sama juga ditegaskan dalam agama lain seperti oleh Dalai Lama yang menyebut: “Kebajikan mampu mengurangkan penderitaan – untuk diri kita sendiri dan untuk orang lain”.

Tetapi ia harus disertai niat ikhlas kerana kebajikan bukanlah seperti pelaburan yang akan memberi pulangan lebih banyak wang dengan cara memberikan banyak wang. Impak dari kebajikan boleh kembali kepada diri kita dalam berbagai bentuk yang sifatnya baik dan memudahkan hidup kita.

Pada alaf digital ini, banyak kegiatan kebajikan sering kali disalah erti bahkan dirosakkan dengan perangai yang tidak beretika, penuh sensasi, dan menipu.

Ada yang menjadikan orang yang ditolong itu sebagai objek untuk meraih lebih wang ataupun populariti sebagai manusia baik.

Pelakunya menunggang kemiskinan dengan menjadikan penderitaan orang lain sebagai objek untuk tatapan yang disebut “porn poverty”.

Jika kita membelek istilah “porn” di dalam mana-mana kamus mahupun kajian bahasa serta sosial, maka maknanya tak hanya sebatas pada ehwal yang lucah sahaja.

Ia juga boleh ditakrif sebagai perkara yang boleh menarik perhatian orang ramai untuk melihat satu sama lainnya sebagai objek dalam hubungan kuasa yang tak seimbang untuk tujuan meraih keuntungan mahupun kepuasan.

Selalunya golongan yang mengguna pakai pornografi kemiskinan memiliki empat ciri.

Yang pertama dia akan mengukuhkan mahupun menggunapakai anggapan yang telahpun salah dari orang awam terhadap objek yang ditolongnya.

Kedua, dia akan mencuba sedaya upaya untuk memakai penderitaan orang atau komuniti sebagai alat meraih populariti bahkan lebih banyak derma. Oleh itu dia terus mencari kisah penderitaan yang tular untuk ditularkannya.

Yang ketiga dia akan selalu mengutamakan pemberian orang awam sebagai penyelesaian utama dan bukannya bukan pemberdayaan.

Keempat dia akan bersembunyi di balik label agama mahupun kemanusiaan ketika dicabar oleh golongan yang kritikal

Saya pertama kali mengenali istilah porno kemiskinan ini saat tinggal di Manila, Filipina pada 2011. Saat itu rakan saya, seorang aktivis sosialis membedah gambaran dunia hiburan di negara Jose Rizal tersebut.

Gambaran tersebut selalu menempatkan golongan miskin bandar yang tinggal di wilayah setinggan besar di persekitaran metro Manila seperti Tondo dan San Andreas sebagai golongan yang eksotik.

Ia digambarkan tragis kerana kemiskinannya, ganas kerana kejadian jenayah, namun tertindas kerana tidak patuh undang-undang, dan terpinggir kerana tidak berharga.

Pada masa sama ia memberi peluang golongan elit mahupun NGO untuk menggilap imej, mengalirkan wang, dan meraih sokongan untuk melanjutkan mahupun merebut kekuasaan.

Selepas saya terokai, apa yang dihujahkan oleh rakan saya ini nyatanya benar dan boleh dilihat dalam filem Filipina di era 1980 sampailah tahun 2000.

Lihatlah filem seperti Ordinary People (Pamilya Ordinaryo), Metro Manila, Heaven’s Waiting (Hintayan Ng Langit),The Woman in the Septic Tank (Ang babae sa septic tank) dan siri AMO.

Kesemuanya menempatkan kaum miskin bandar sebagai objek hiburan belaka yang digambarkan dalam paradoks.

Dalam konteks Malaysia mahupun Indonesia, gambaran pornografi kemiskinan lebih banyak nampak dalam dalam dunia penciptaan kandungan meskipun ada juga dalam dunia lakonan.

Ini boleh dilihat dalam satu video tular baru-baru ini yang menunjukkan kunjungan seorang pempengaruh tersohor dari semenanjung Malaysia ke suku komuniti Bajau Laut di Sabah.

Perlu kita ketahui majoriti suku Bajau laut atau yang dikenali sebagai nomad laut ini tiada kewarganegaraan.

Maknanya mereka hidup tanpa mendapatkan perlindungan mana-mana negara sehingga tidak mendapat hak pendidikan, kesihatan, pekerjaan, apatah lagi keamanan.

Oleh itu keterpinggiran mereka harus difahami dalam konteks kebijakan negara tempat mereka bertapak.

Dalam video sepanjang 8 minit itu terlihat banyak perahu masyarakat Bajau laut di sekitar perahu pempengaruh tersebut, Mereka ingin mendapatkan makanan snek yang dilemparkan pempengaruh tersebut.

Video tersebut seterusnya menyorot wajah salah wanita tua dengan latar bunyi keagamaan serta tangisan dari si pempengaruh yang berdoa agar rezeki wanita tersebut dipermudahkan.

Video berkenaan menimbulkan kecaman dari aktivis seperti Borneo Komrad dan juga aktivis sosial lain.

Pempengaruh tersebut kemudian menyiarkan video lain dengan naratif yang diubah suai dan menyalahkan para pengkritiknya serta mempertahankan tindakannya. 

Di Indonesia, hal serupa turut berlaku. Seorang artis tempatan dikenal orang ramai dengan konten kebajikannya meraih kecaman selepas mengunjungi rumah seorang pelajar sekolah rendah.

Rakaman video kunjungannya itu tular kerana menunujukkan kepala pelajar tersebut yang penuh kutu. Isunya artis tersebut memujuk pelajar tersebut agar tidak malu berdepan kamera.

Pendedahan dalam video tular itu tentunya akan mengundang buli ke atas pelajar tersebut.

Kegiatan kebajikan yang mengandungi unsur pornografi kemiskinan seperti ini sudah terlalu banyak. Pelakunya meraih imej positif, populariti dan pendapatan besar serta peminat yang ramai.

Pada masa sama, kemiskinan juga semakin menjadi hiburan.

Tentu menjadi amat munafik jika pempengaruh ini mendakwa tidak meraih keuntungan dari kebajikan sedangkan mereka terus menjual kandungan kemiskinan.

Kita patut membenci amalan sebegini ini kerana jauh dari tujuan untuk melawan kemiskinan, ketertindasan, apatah lagi kebodohan.

Pornografi kemiskinan akan menghalang kesedaran mahupun niat orang ramai berbincang dan membuat gerakan melawan kemiskinan secara benar.

Ia membuat orang ramai menolak, malah tidak kisah pada pendekatan aktivisme yang mahukan transformasi sistematik melalui advokasi, pemerkasaan, atau menentang sistem.

Akhirnya, populariti akan menewaskan pihak yang benar-benar bekerja dan peduli.

Sama ada bantuan mereka ikhlas atau tidak, memang bukan ranah kita untuk menilai biarlah itu urusan mereka dengan tuhannya.

Namun saya teringat kata-kata seorang rakan, seorang paderi Katolik di Baucau, Timor Leste saat saya mengunjunginya tahun 2017 lalu.

Sehingga hari ini, beliau terus menjalankan usaha membanteras buta huruf di sekitar Baucau dan Batu Gede, Timor Leste dan prinsip bersedekah.

Beliau mengajar prinsip memberi yang sebaiknya cukuplah diketahui oleh kita ataupun lingkungan kita sahaja. Yang tahu tak usah dijadikan konten untuk mencari populariti ataupun keuntungan wang.

Dalam Islam, agama yang saya anut pun mengajarkan hal yang sama kalau boleh lakukanlah kebajikan tanpa ada siapa pun yang tahu, cukuplah Allah sahaja yang tahu.

Rakaman yang dimuatnaik untuk dokumentasi berbeza dengan para pelaku pornografi kemiskinan.

Rakaman dokumentasi tidak dimuat ke internet untuk mencari makan dari kemiskinan tetapi kerana faktor tanggungjawab atau keterbukaan kepada orang ramai.

Selalunya, dokumentasi ini bersifat pemberdayaan dan menutup identiti dan wajah individu yang dibantu.

Pelaku pornografi kemiskinan sememangnya berhak mempertahankan bahawa video yang disebar di media sosial itu bukan untuk mencari populariti, tapi apa niat sebenarnya?

Kita tidak mempersoalkan pemberian mereka, dan ia patut kita hargai.

Namun kita persoalkan cara dan tujuan kegiatan kebajikan itu. Akhir kalam, sebaiknya kita menjadi manusia yang rajin berbuat kebajikan tanpa menjadi porno.

Cukuplah tuhan pemilik rezeki dan kehidupan menjadi saksi. – 11 September, 2022.


* Mansurni Abadi mahasiswa jurusan kajian etnik Universiti Kebangsaan Malaysia dan juga aktivis Muhammadiyah Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen