Dr Mahathir sudah buktikan Umno tidak kebal


NAIB Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh beberapa media massa berkata parti-parti politik yang ditubuhkan oleh Dr Mahathir Mohamad tidak berjaya. Beliau  menyifatkan Dr Mahathir masih tidak ‘move on’ daripada Umno.

Dakwaan Khaled ini sebenarnya tidak berasas malah silap kerana Dr Mahathir telah pun berjaya menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan menerusi usaha ini jugalah berjaya menyatukan parti-parti pembangkang dan akhirnya berjaya menumbangkan Umno dan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Ini bukan sahaja membuktikan bahawa Umno bukanlah parti yang kebal sebaliknya rapuh dan boleh roboh.

Mengapa Umno lemah dan kalah? Umno pasca pimpinan Dr Mahathir telah menjadi sebuah parti yang lemah kerana kelemahan pimpinannya. 

Kelemahan ini disebabkan budaya “Cash Is King” yang dimulakan oleh kumpulan kleptokrat dalam Umno.

Kelemahan ini terbukti menerusi siri beberapa pilihan raya negeri (PRN) seperti di Melaka dan Johor. 

Ya, benar, Umno menang di kedua-dua PRN ini namun dengan jumlah undi yang tidak begitu memberangsangkan. 

Malah kemenangan Umno itu bukan kerana Umno kuat, sebaliknya kerana jumlah peratusan keluar mengundi yang amat rendah atas faktor pandemik Covid-19 selain pembangkang yang berpecah.

Kembalinya Dr M daripada persaraan adalah atas sebab perjuangan Umno telah menyimpang dari landasannya. 

Jika Khaled masih ingat, apabila Najib Razak dilantik menjadi Perdana Menteri, Dr Mahathir kembali ke pangkuan Umno. 

Namun ia tidak lama kerana Najib dan pimpinan Umno sudah berubah wajah, daripada parti yang membela nasib rakyat kepada parti kleptorat.

Perubahan hala tuju Umno inilah yang menyebabkan negara dibelenggu dengan pelbagai masalah hingga terkesan kepada seluruh rakyat menerusi hutang yang menggunung serta ketirisan wang kerajaan akibat skandal 1MDB.

Skandal 1MDB ini bukan sahaja menjejaskan nama baik Malaysia di seluruh dunia, malah negara berhutang dengan sangat banyak. Hutang-hutang ini perlu ditanggung oleh rakyat Malaysia untuk tempoh yang lama.

Sebelum tertubuhnya Bersatu, Dr Mahathir turut menyeru kepada pimpinan Umno termasuk Khaled untuk menukar Najib. 

Namun seruan ini tidak diendahkan, malah Dr Mahathir dan isteri Siti Hasmah Mohd Ali diganggu dengan pelbagai ugutan dan siasatan apabila bersuara dalam skandal 1MDB ini.

Oleh kerana seruan Dr Mahathir itu tidak diendahkan, maka mahu tidak mahu beliau terpaksa menubuhkan parti Melayu yang baharu untuk menukar pentadbiran kerajaan. 

Usaha itu berjaya, namun selepas kejayaan itu, pengkhianatan oleh pimpinan parti berlaku lagi. 

Khaled seharusnya berlapang dada dengan kritikan Dr Mahathir kerana di mana beliau berada pada hari ini, secara tidak langsung adalah atas jasa Dr Mahathir kepada pimpinan Umno. 

Khaled perlu menerima hakikat bahawa kritikan Dr Mahathir ini berasas. Khaled sebenarnya sedar atas perkara ini, tetapi memilih untuk menutup mata hati daripada menerima cahaya kebenaran.

* Mahdzir Ibrahim, AJK Penerangan GTA Pusat

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen