Sukar dipercayai Najib butakan mata, pekakkan telinga wang berjuta masuk akaun peribadi, kata DPP


Timbalan Pendakwa Raya ad hoc V. Sithambaram berkata perayu (Najib) sekurang-kurangnya perlu membuat pertanyaan mengenai sumber dan kesahihan kesemua dana berkenaan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 19 Ogos, 2022.

SUKAR dipercayai bahawa bekas perdana menteri Najib Razak telah bertindak membutakan mata dan memekakkan telinga berhubung kemasukan wang berjuta-juta ke dalam akaun peribadi beliau, Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya ad hoc V. Sithambaram berkata dengan aliran masuk sejumlah besar wang ke dalam akaun bank beliau, perayu (Najib) sekurang-kurangnya perlu membuat pertanyaan mengenai sumber dan kesahihan kesemua dana ini.

“Membutakan mata dan memekakkan telinga berhubung kemasukan wang berjuta-juta ke dalam akaun banknya atas alasan tunggal bahawa pengurusan akaun terbabit telah diwakilkan kepada bekas ketua pegawai eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil dan selama lima tahun beliau secara peribadi tidak mengetahui baki di dalam akaunnya adalah benar-benar sukar dipercayai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berhujah di hadapan panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd.

Sithambaram berkata Najib juga kononnya bergantung kepada Allahyarham Azlin Alias (setiausaha sulit Najib) untuk mengetahui sama ada beliau boleh mengeluarkan ceknya.

“Perayu secara terang-terangan enggan mengakui bahawa beliau mengetahui baki di dalam akaun banknya kerana perkara itu akan mengaitkan pengetahuan beliau dengan deposit RM42 juta ke dalam akaun bank peribadinya. 

“Najib tidak pernah memberi keterangan mengenai sama ada beliau pernah bertanyakan perkara itu kepada Azlin, Nik Faisal atau ahli perniagaan dalam buruan Low Teik Jho, atau Jho Low, mengenai sumber dana tersebut yang digunakan untuk berbelanja tanpa banyak soal,” katanya.

Sithambaram berhujah meskipun sumber dana di dalam akaun Najib menjadi bahan siasatan rasmi oleh pihak berkuasa yang berkaitan, perayu terus kekal pasif dan tidak cuba membuat sebarang laporan polis mengenai dana yang telah didepositkan ke dalam akaun peribadi beliau.

“Apabila dimaklumkan bahawa dana itu adalah daripada SRC, beliau sekali lagi tidak berbuat apa-apa,” katanya.

Sithambaram juga berkata ahli Parlimen Pekan itu berkeras bahawa wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya adalah sumbangan daripada kerabat diraja Arab Saudi.

Bagaimanapun, beliau berkata hakim yang mendengar perbicaraan kes itu telah membuat pertimbangan yang wajar bahawa cerita mengenai sumbangan kerabat diraja Arab Saudi adalah sukar dipercayai apabila dipertimbang dengan keseluruhan bukti.

Menyentuh isu pengetahuan, peguam itu berkata Najib sendiri telah mengakui bahawa wang itu datangnya daripada SRC.

Ini katanya, disahkan oleh Najib dalam afidavit yang difailkan terhadap bekas presiden MCA Dr Ling Liong Sik pada 2016.

Justeru, Sithambaran berkata adalah jelas Najib telah dengan sengaja berbohong apabila menyatakan bahwa beliau tidak mengetahui sumber dana itu ketika disoal mengenai perkara tersebut pada perbicaraan kes SRC.

Pendakwaan kemudian mengakhiri hujahan dan prosiding pendengaran rayuan itu bersambung pada Selasa depan.– Bernama, 19 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen