Kesatuan kesal kerajaan biar Hicom pecat pekerja


Setiausaha Agung NUTEAIW N Gopal Kishnam berkata tindakan Kementerian Sumber Manusia yang memuji keputusan Mahkamah Perusahaan yang tidak memihak kepada lima pekerja Hicom yang dipecat sukar untuk diterima. – Gambar NUTEAIW, 15 Ogos, 2022.

KESATUAN Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perusahaan Alat-Alat Pengangkutan Dan Sekutu (NUTEAIW) menyelar kerajaan kerana tiada tindakan diambil berhubung pemecatan lima pekerja Hicom Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn Bhd.

Setiausaha Agung NUTEAIW N Gopal Kishnam dalam satu kenyataan hari ini berkata tindakan Kementerian Sumber Manusia yang memuji keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada pekerja terbabit sukar untuk diterima.

“NUTEAIW mengecam kerajaan dalam jawapan kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang mempertahankan keputusan Mahkamah Perusahaan sebagai adil dan betul.

“Jawatankuasa Kebebasan Berpersatuan ILO memutuskan pemecatan lima ahli kesatuan sekerja dari Hicom kerana menyertai mesyuarat kesatuan telah mencabuli kebebasan mereka untuk berpersatuan dan merupakan satu intimidasi.

“Menurut ILO pekerja berhak mengadakan mesyuarat selagi ianya aman dan tidak menghalang pihak pengurusan memasuki premis.

“Manakala majikan dikehendaki supaya tidak mencampuri aktiviti kesatuan sekerja.

“Namun, kementerian tidak mengambil sebarang tindakan untuk mendakwa syarikat terbabit. Ini tidak masuk akal, apabila kementerian gagal menguatkuasakan undang-undang tetapi memuji keputusan mahkamah,” kata Gopal.

Mengulas lanjut, Gopal berkata kerajaan sepatutnya memainkan peranan sebagai orang tengah untuk mencari jalan penyelesaian.

Beliau turut menggesa kerajaan memastikan pekerja dan pemimpin kesatuan bebas untuk menganjurkan aktiviti atau mesyuarat. – 15 Ogos, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen