Kerajaan perlu adakan sidang khas Parlimen bincang isu LCS


Bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong berkata kerajaan perlu mengadakan sidang khas Parlimen secepat mungkin bagi membahaskan skandal LCS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2022.

KERAJAAN Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu mengadakan sidang khas Parlimen sebelum hujung Ogos bagi membahaskan skandal kapal tempur pesisir (LCS), kata bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong.

Dalam satu kenyataan, bekas senator itu berkata Kabinet peru memutuskan untuk mengadakan sidang itu itu pada Rabu ini dan berunding dengan parti di Parlimen menerusi jawatankuasa parlimen.

“Sidang Parlimen ke-14 akan terbubar kurang daripada setahun, iaitu sebelum 15 Julai, 2023 dan sebarang penyelesaian kepada projek LCS perlu berasaskan kepada bipartisan untuk bertahan hingga pilihan raya umum akan datang dan perubahan dalam kerajaan.

“Ini amat perlu kerana pemerolehan pertahanan biasanya proses beberapa tahun.

“Untuk projek LCS ada perkembangan, kerajaan Ismail Sabri yang pada masa ini akan bertahan kurang 10 bulan, sepatutnya mendapatkan rundingan dan penyelesaian bipartisan menerusi jawatankuasa parlimen, di mana ia akhirnya akan diperakui oleh Dewan secara keseluruhan,” kata ahli DAP itu.

Ismail baru-baru ini berkata laporan jawatankuasa khas yang ditubuhkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) untuk menyiasat pemerolehan LCS akan didedahkan kepada umum.

Kabinet juga mencadangkan forensic laporan projek perolehan yang dijalankan apda 2019 tidak lagi dirahsiakan, tertakluk kepada nasihat dan pandangan peguam negara dan ketua audit negara.

Malaysia minggu lalu dikejutkan dengan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkenaan projek bermasalah itu.

Laporan itu mendedahkan ia mengadakan sembilan prosiding berkenaan projek LCS bermula 18 November, 2020 dan terakhir 8 Mac lalu, dengan memanggil beberapa saksi.

Prosiding itu menapati kontrak berkenaan diberikan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd menerusi rundingan langsung, dengan kerajaan membayar RM6.08 bilion tetapi tidak menerima walau sebuah pun LCS.

Liew berkata apabila Dewan Rakyat mengadakan sidang khas itu, ahli Parlimen perlu berbahas berkenaan empat perkara utama.

“Ahli Parlimen perlu membahaskan laporan PAC bertarikh 4 Ogos berkenaan LCS, laporan Ambrin Buang berkenaan NGPV dan LCS, forensic laporan audit berkenaan LCS oleh BNS dan cadangan penyelesaian bipartisan untuk menggerakkan projek LCS.

“Demi kepentingan Tentera Laut dan kedaulatan negara, penyelesaian bipartisan untuk projek LCS bertahan walaupun kerajaan berubah,” katanya. – 14 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen