Imigresen beri kerjasama penuh jawatankuasa siasat insiden di KLIA


Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada jawatankuasa siasatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2022.

JABATAN Imigresen akan memberi kerjasama penuh pada jawatankuasa siasatan berhubung insiden melibatkan pegawai tinggi kerajaan dan pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, kata Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud.

“Saya tidak boleh memberikan komen lanjut kerana jawatankuasa siasatan khas telahpun ditubuhkan dan Imigresen akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa yang telah ditubuhkan,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus Jabatan Imigresen bersama agensi pelancongan di KLIA di Sepang, hari ini.

Beliau juga enggan mengulas sama ada beliau turut terlibat dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai insiden yang mendakwa seorang pegawai tinggi kerajaan telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Imigresen di KLIA pada 3 Ogos lepas.

Susulan itu Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali semalam mengumumkan mengenai penubuhan Jawatankuasa Siasatan bagi menyiasat dakwaan insiden di KLIA itu yang dipengerusikan Peguam Negara Idrus Harun.

Jawatankuasa itu turut dianggotai oleh Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki. – Bernama, 8 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen