Skandal kapal tempur patut jadi keutamaan PM, kata Guan Eng


Pengerusi DAP i Lim Guan Eng berkata PM tidak mengulas atau memulakan tindakan selepas PAC dedah laporannya berkenaan projek LCS minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob mengambil sikap tidak bertanggungjawab dengan memberi keutamaan kepada insiden dakwaan kata-kata kesat dikeluarkan pegawai kanan kerajaan, sedangkan tidak bertindak terhadap skandal perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) membabitkan nilai RM9 bilion, kata Lim Guan Eng.

Pengerusi DAP itu berkata Ismail tidak memberi sebarang komen atau memulakan tindakan selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan laporannya berkenaan projek LCS minggu lalu.

“Laporan PAC mendedahkan salah guna kuasa, penipuan dan penyelewengan dana.

“RM6 bilion dana awam adalah jumlah wang yang besar, dan sepatutnya mendapat perhatian yang sama atau lebih berbanding insiden dakwaan penggunaan kata-kata kesat oleh pegawai kanan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Lim berkata kerajaan bertindak begitu pantas menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat insiden yang berlaku di KLIA itu, tetapi tidak pula bagi isu LCS.

“Secara perbandingan, Ismail setakat ini tidak mengulas atau bertindak sejak Pengerusi PAC Wong Kah Who menyiarkan dapatan jawatankuasa itu minggu lalu, mencadangkan hukuman terhadap pihak bertanggungjawab meluluskan RM9 bilion bagi pembelian enam LCS yang dibina oleh BNS,” katanya.

Beliau berkata pada 2011, kerajaan memilih untuk menukar LCS Sigma kepada LCS Gowind, dan tidak mengikut nasihat Tentera Laut Diraja Malaysia.

“Walaupun membayar lebih RM6 bilion, sebiji LCS pun tidak dihantar.

“Jika jawatankuasa peringkat tertinggi boleh ditubuhkan untuk insiden kata kesat di KLIA, kenapa jawatankuasa sama tidak boleh diadakan untuk bertindak dan menghukum mereka yang bertanggungjawab atas skandal LCS,” katanya.

Lim mengulas pengumuman ketua setiausaha negara berkenaan Peguam Negara Idrus Harun akan mengetuai jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menyiasat insiden membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan dan pegawai imigresen di KLIA, baru-baru ini. – 8 Ogos, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen