Dewan Rakyat lulus 7 usul Kementerian Kewangan


DEWAN Rakyat pada Khamis meluluskan usul supaya kerajaan melalui Menteri Kewangan (Diperbadankan) membuat pelaburan dengan menukar baki pinjaman RM969.268 juta yang dicatatkan Felcra Bhd kepada ekuiti melalui pemilikan saham bersamaan 969.268 juta saham biasa dengan nilai RM1 seunit bagi 2022.

Felcra merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata penukaran pinjaman kerajaan kepada pemilikan saham itu bertujuan meningkatkan nilai perniagaan, memperbaiki lembaran imbangan dan nisbah hutang.

Ini bagi membantu Felcra memohon pinjaman daripada institusi kewangan atau pasaran modal untuk membiayai projek komersialnya, dan berupaya beroperasi secara mandiri pada masa akan datang selaras dengan objektif transformasi Felcra, katanya ketika membentangkan usul itu pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.

Selain itu, Dewan Rakyat juga meluluskan usul supaya kerajaan memberikan sumbangan AS$9 juta kepada Program Penambahan Dana Ke-19 dan AS$9 juta lagi kepada Program Penambahan Dana Ke-20 Persatuan Pembangunan Antarabangsa (IDA).

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata IDA merupakan sebuah agensi di bawah Kumpulan Bank Dunia yang bertanggungjawab memberi geran dan pinjaman jangka panjang tanpa faedah atau dengan kadar faedah yang sangat rendah kepada 76 negara kategori termiskin.

“Malaysia mula menjadi negara penderma semasa pusingan IDA yang ke-17 bagi tempoh 1 Julai, 2014 hingga 30 Jun, 2017 dan meneruskan sumbangan bagi pusingan IDA ke-18 bagi tempoh 1 Julai, 2017 hingga 30 Jun, 2020.

“Sumbangan Malaysia kepada IDA (bagi penambahan dana) ke-17 dan ke-18 masing-masing sebanyak AS$27 juta dengan tempoh penunaian selama sembilan tahun. Penunaian untuk IDA (bagi penambahan dana) ke-17 dijangka selesai pada 2023 manakala IDA (penambahan dana) ke-18 dijangka selesai pada 2026,” katanya semasa membentangkan usul itu.

Dewan Rakyat juga, mengikut peruntukan di bawah Seksyen 10(4)(a) Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61), meluluskan usul supaya Jadual Kedua akta tersebut dipinda dengan butiran nama Kumpulan Wang Amanah Majlis Sains Dan Penyelidikan Kebangsaan (MSPK) dijenamakan kepada Endowmen Sains Malaysia (MSE).

Di bawah peruntukan sama, Dewan Rakyat juga meluluskan usul Kementerian Kewangan supaya Jadual Kedua akta tersebut dipinda dengan memotong butiran sedia ada Kumpulan Wang Amanah Tabung Inovasi Negara (KWATIN).

Yamani Hafez berkata matlamat penubuhan KWATIN untuk membolehkan peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) disalurkan kepada 299 projek yang berkaitan.

“Daripada peruntukan keseluruhan berjumlah RM44.24 juta, sebanyak RM24.43 juta telah dibelanjakan sehingga Disember 2014. Kesemua projek berkenaan telah selesai dilaksanakan pada 2014. Maka KWATIN tidak lagi relevan memandangkan tujuan penubuhannya telah tercapai,” katanya.

Beliau juga mengusulkan supaya butiran sedia ada Kumpulan Wang Amanah Pendahuluan Peti Sejuk Sarawak dipotong memandangkan semua kutipan balik pinjaman telah berjaya diselesaikan dan tiada lagi keperluan pembiayaan diberikan mulai 1998.

Kumpulan wang amanah tersebut yang ditubuhkan pada 6 Julai, 1964 bertujuan memberi wang pendahuluan pembelian peti sejuk kepada pegawai kakitangan kerajaan Sarawak yang dipinjamkan kepada kerajaan Persekutuan di negeri Sarawak, dan pegawai kakitangan kerajaan Persekutuan yang berasal dan berkhidmat di Sarawak.

Mengikut akta yang sama, Yamani turut mencadangkan supaya Jadual Kedua akta itu dipinda dengan butiran nama yang dijenamakan kepada Kumpulan Wang Amanah Kedaulatan Maritim Negara daripada Kumpulan Wang Amanah Projek Pelantar Benua Malaysia (PPBM), di bawah seliaan Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata penjenamaan semula dan peluasan skop fungsi kumpulan amanah ini juga akan memberi impak dalam usaha untuk mengukuhkan lagi keselamatan dan kedaulatan laut ataupun entiti berdasarkan peta baharu Malaysia.

Yamani Hafez juga telah membentangkan usul supaya kerajaan bersetuju memberi sumbangan sebanyak AS$70,000 Program Penambahan Dana Ke-12 Tabung Antarabangsa Bagi Pembangunan Pertanian (IFAD).

Beliau berkata sebagai negara penderma, Malaysia akan memperoleh kebolehlihatan sekali gus berpeluang berkongsi pengalaman dalam melaksanakan dasar pembangunan khususnya dalam bidang pertanian.

Selain itu, sumbangan tersebut dapat membantu IFAD menyokong sistem makanan yang mampan bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) kedua iaitu sifar kebuluran dalam kalangan negara yang sedang membangun. – Bernama, 4 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen