Urusan daftar masuk, operasi perniagaan terjejas seketika di KLIA


URUSAN di kaunter daftar masuk dan premis perniagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terjejas seketika akibat gangguan bekalan elektrik tengah hari tadi.

Seorang kakitangan penerbangan yang bertugas di kaunter daftar masuk di tingkat lima KLIA berkata urusan menimbang bagasi tidak dapat dilakukan ketika gangguan elektrik berlaku.

“Terjejas juga tetapi disebabkan tidak ramai penumpang ketika itu, situasi agak O.K. Hanya lampu sahaja berfungsi di kaunter,” katanya kepada Bernama ketika tinjauan di KLIA di Sepang hari ini.

Menurut Tenaga Nasional Bhd (TNB) gangguan bekalan elektrik dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sejak 12.39 tengah hari dan antara kawasan yang terlibat ialah Petaling Jaya, Cheras, Bangi (Lembah Klang); Bayan Lepas dan Seberang Jaya (Pulau Pinang); Panchor, Johor dan Bandar Indera Mahkota, Pahang.

KLIA turut dilaporkan bergelap sebelum bekalan elektrik pulih secara beransur-ansur mengikut lokasi di lapangan terbang itu kira-kira lima minit kemudian.

Pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd  turut memuat naik dalam laman sosial memaklumkan terminal utama KLIA mengalami gangguan bekalan elektrik dan pihak kejuruteraan syarikat itu sedang berhubung dengan pihak Tenaga Nasional Bhd, dan disusuli dengan kenyataan bahawa bekalan elektrik telah pulih sepenuhnya di KLIA.

Gangguan bekalan elektrik itu bagaimanapun tidak menyebabkan KLIA “gelap-gelita sepenuhnya” kerana difahamkan masih terdapat lampu kecemasan yang berfungsi ketika bekalan elektrik terputus manakala komputer di sesetengah kaunter beroperasi secara normal kerana terdapat sistem sandaran.

Seorang anggota penguat kuasa yang bertugas di kawasan pelepasan antarabangsa di KLIA berkata urusan masuk penumpang yang mahu turun ke Balai Imigresen tidak terjejas ketika bekalan elektrik putus.

“Hanya lif dan eskalator sahaja tidak berfungsi manakala sistem PRS (Sistem Penyelarasan Penumpang) yang mengimbas pas masuk penumpang berfungsi seperti biasa,” katanya.

Kakitangan Dunkin’ Donuts yang hanya mahu dikenali sebagai Ameera pula berkata kedai makan itu berdepan masalah tidak boleh menyediakan kopi menggunakan mesin untuk pelanggan ketika gangguan elektrik berlaku.

“Pelanggan sudah ramai dan berbaris untuk membeli kopi namun kami tidak memprosesnya. Ada pelanggan yang bayar jumlah tepat harga makanan sebab mesin daftar tunai tidak berfungsi juga,” katanya.

Penyelia TGM Japanese Korean Cuisine Zariq Ruslan berkata restoran itu tidak dapat mengambil pesanan pelanggan kerana ia menggunakan mesin dan komputer ketika ketiadaan elektrik hampir sejam.

“Kami kehilangan lebih daripada lima pelanggan semasa bekalan elektrik tiada,” katanya.

Seorang kakitangan Airport Limo yang tidak mahu dikenali berkata kios yang terletak di tingkat dua tidak berdepan dengan apa-apa masalah dan komputer berfungsi secara biasa, kecuali mereka berdepan dengan situasi ketiadaan lampu. – Bernama, 27 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen