Rakyat Malaysia dinasihat tangguh perjalanan tak penting ke Sri Lanka


Penunjuk perasaan menyerbu masuk kediaman rasmi presiden Sri Lanka di Colombo, semalam. Ribuan penunjuk perasaan memecah masuk penghadang polis semasa protes anti kerajaan. Kejadian itu memaksa Presiden Gotabaya Rajapaksa mengumumkan peletakan jawatannya. – Gambar EPA, 10 Julai, 2022.

RAKYAT Malaysia yang berhasrat untuk ke Sri Lanka dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan yang tidak penting buat masa ini berikutan pergolakan umum di kepulauan itu, susulan krisis kewangan yang belum pernah berlaku di negara tersebut.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata kementerian itu memantau dengan teliti perkembangan di Sri Lanka dan Suruhanjaya Tinggi di Colombo berhubung rapat dengan semua rakyat Malaysia berdaftar di sana bagi memastikan keselamatan mereka serta memberikan bantuan konsular, jika perlu.

Kementerian juga menyeru rakyat Malaysia lain yang kini berada di Sri Lanka tetapi masih belum mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi untuk segera berbuat demikian.

Ini akan membantu Suruhanjaya Tinggi melanjutkan bantuan konsular yang diperlukan, jika perlu, menurut kenyataan itu.

“Semua rakyat Malaysia di Sri Lanka dinasihatkan untuk memberi perhatian sepenuhnya terhadap keselamatan mereka dan mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan,” kata kenyataan itu.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular diminta menghubungi Suruhanjaya Tinggi di 45, Rosmead Place, Colombo 07, Sri Lanka atau menghubungi +94774830103 atau e-mel : [email protected].

Sri Lanka mengalami krisis ekonomi terburuk dalam beberapa dekad kerana negara yang mempunyai 22 juta penduduk itu berdepan kekurangan bahan api, ubat-ubatan dan bahan makanan yang teruk.

Presiden Gotabaya Rajapaksa dan Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe mengumumkan peletakan jawatan selepas penunjuk perasaan menyerbu masuk kediaman rasmi presiden pada semalam serta membakar rumah perdana menteri. – Bernama, 10 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen