Wan Junaidi tak faham asas undang-undang, kata Dr Mahathir


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad kecewa kerana dianggap tidak mahu bekerjasama dalam isu Pulau Batu Puteh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2022.

MENTERI hal ehwal undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar masih tidak faham asas perundangan dalam isu bantahan ke atas prosiding mengenai kes Pulau Batu Puteh, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu kecewa kerana dianggap tidak mahu bekerjasama dalam temubual Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance bagi kes kedaulatan Pulau Batu Puteh.

“Kenyataan Menteri itu tidak tepat sama sekali dan mengelirukan. Ianya seolah-olah saya tidak memberikan kerjasama kepada sesi temubual itu,” katanya.

Jelas Dr Mahathir, kerajaan tidak pernah menjawab bantahannya ke atas pelantikan bekas peguam negara Apandi Ali untuk mempengerusi prosiding itu.

Namun kini beliau dianggap sengaja melewat-lewatkan prosiding tersebut sedangkan bantahannya ke atas pelantikan Apandi tidak pernah dijelaskan, kata Dr Mahathir dalam satu kenyataan.

“Bantahan dibuat setelah saya terima nasihat perundangan dari peguam yang mewakili saya. Saya memelihara hak saya menurut undang-undang.

“Tidak timbul isu bantahan pada saat akhir. Sebaliknya, bantahan saya ini tidak pernah dijawab sehingga semalam dan alasan yang diberikan oleh menteri undang-undang kononnya saya lewat membangkitkan bantahan.

“Tidakkah menteri undang-undang dimaklum mengenai bantahan-bantahan awal saya?” katanya yang mengulangi jaminan akan bekerjasama jika jawatankuasa itu tidak disertai Apandi.

Jelasnya, Apandi tidak wajar mengetuai Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance itu kerana berlaku konflik kepentingan melibatkan Apandi.

Hal ini kerana beliau bertanggungjawab menamatkan khidmat Apandi sebagai pengerusi pasukan petugas khas bagi kes Pulau Batu Puteh, kata Dr Mahathir.

Selain itu, Apandi mengkritik secara terbuka keputusan beliau dan kerajaan Pakatan Harapan waktu itu kerana tidak merayu keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa dalam kes kedaulatan pulau itu.

Oleh itu, Apandi tidak wajar mengetuai prosiding kali ini kerana beliau merupakan pempetisyen atau pengadu dalam kes tersebut, menurutnya lagi.

Sekiranya ia diteruskan, pelantikan itu bertentangan dengan prinsip perundangan dan “natural justice” kerana tiada individu yang patut menjadi hakim untuk kepentingan dirinya, kata Dr Mahathir.

Oleh itu, beliau kesal kerana bantahannya tidak dihiraukan dan tetap diminta hadir semula pada 28 Jun di hadapan dua penemubual, Baljit Singh Sidhu dan Tengku Ahmad Fuad Tengku Ahmad Burhanuddin.

Sedangkan, bantahan tersebut sudapun direkodkannya sebelum itu pada 21 Jun bagi menuntut ketetapan ke atas kedudukan Apandi dan juga Baljit.

Ini kerana Baljit juga berkepentingan kerana menjadi peguam Apandi dalam kes saman ke atas kerajaan Malaysia berhubung penamatan jawatan beliau sebagai peguam negara, katanya.

Saman itu diselesaikan pada awal Mei lalu dengan terma yang dirahsiakan di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan tidak direkodkan dalam Perintah Penyelesaian Persetujuan itu.

Tiada pengakuan kesalahan diumumkan dari kerajaan Malaysia mahupun dari Dr Mahathir dalam kes tersebut.

Dr Mahathir pada Selasa lalu meninggalkan Pejabat Peguam Negara di Putrajaya selepas mengetahui Apandi masih mempengerusikan jawatankuasa, biarpun selepas membuat bantahan.

Pada Oktober 2021, Jemaah Menteri menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk menyemak undang-undang berkenaan isu Pulau Batu Puteh.

Pasukan petugas khas itu juga mengumpulkan pandangan undang-undang mengenai kemungkinan wujudnya elemen salah laku apabila pentadbiran Dr Mahathir menarik balik  permohonan untuk menyemak keputusan ICJ.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Pulau Batu Puteh milik Singapura sementara Batuan Tengah milik Malaysia. Tubir Selatan yang terletak empat kilometer dari Pulau Batu Puteh pula akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang akan ditentukan antara kedua-dua negara.

Permohonan itu difailkan semasa pentadbiran Najib Razak pada Februari 2017 tetapi ditarik balik pada Jun 2018, semasa Dr Mahathir jadi perdana menteri menerajui kerajaan Pakatan Harapan.

Menurut Dr Mahathir, beliau sedia memberi kerjasama kepada siasatan kerajaan ini tetapi biarlah panel yang menyiasatnya tidak mempunyai kepentingan dalam isu berkenaan.

Apandi menjadi peguam negara semasa Malaysia mengemukakan permohonan kepada ICJ untuk menyemak semula keputusannya.

“Kalau mereka (kerajaan) mahu berlaku adil, mereka mesti lantik pihak ketiga yang tiada kena mengena dengan perkara ini,” kata bekas perdana menteri.

Menurut peguamnya, Dr Mahathir menulis tiga kali kepada Pejabat Peguam Negara bagi membantah pelantikan Apandi. – 30 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen