Nasib Mat Kilau dan politik jahat


RAKYAT Malaysia pada hari ini terperangkap antara dua blok politik yang jahat. Tidak kira berapa banyak parti politik yang ada pada hari ini atau apa ideologinya, kebanyakan pemimpin dan parti yang ada, tergolong dalam dua blok ini.

Blok pertama ialah blok politik liberal yang diwakili oleh politik bukan Melayu yang menyamar di balik politik pelbagai kaum dengan menjaja imej politik progresif kepada pengundi Melayu dan Islam.

Satu blok lagi diwakili oleh kumpulan politik Melayu yang menyamar disebalik imej “Melayu” dan “Islam”, yang menjual masa depan bangsanya dengan melakukan rasuah dan pecah amanah yang tidak bermoral.

Kita sebagai pengundi hari ini dipaksa untuk memilih satu di antara dua blok parti politik. Blok politik pelbagai kaum yang prejudis kepada Melayu Islam atau memilih blok politik Melayu yang keparat.

Blok Politik Pelbagai Kaum (Bukan Melayu)

Naratif politik bukan Melayu atau pelbagai kaum ini sedang meyakinkan pengundi Melayu Islam dengan dasar dan polisi pentadbiran yang digambarkan sebagai adil, progresif dan telus berdasarkan merit.

Jika merit yang mereka anggap sebagai kayu ukur yang adil untuk membantu kumpulan majoriti dalam negara ini iaitu Melayu Islam, maka kita sudah tahu jawapannya.

Modus operandi kumpulan politik pelbagai kaum ini dapat dilihat apabila mereka begitu ghairah bekerjasama dengan pemodal dengan membangunkan tanah-tanah yang dibeli.

Ia dijadikan model pembangunan sebagai bukti kepada rakyat bahawa mereka juga boleh bawa pembangunan seperti BN. Namun, projek-projek ini menyebabkan orang Melayu marhaen tidak mampu membeli atau menyewa hartanah di situ. Maka Melayu akan menjadi kumpulan minoriti dalam bandar baharu yang dibina ini.

Jika ada pun yang tinggal di situ, hanya segelintir Melayu elit dan setompok kecil keluarga Melayu yang tinggal di rumah kos rendah/flat sebagai ‘token’ agar dilihat pembangunan ini meraikan semua kaum.

Apabila proses ini selesai, penduduk yang telah memenuhi populasi di komuniti ini, boleh menuntut penambahan kerusi DUN atas faktor tersebut. Pada masa itu kita sudah tahu, parti mana dan calon apa yang akan menang dikerusi tersebut.

Pada hari ini pun banyak kerusi Parlimen ditentukan oleh kekuatan sesebuah DUN. DUN ini berada dalam daerah pembangunan baharu seperti yang saya sebut di atas. Model pembangunan ini kita boleh lihat dari Semenyih hingga ke Sepang, dari Sepang hingga ke George Town dan dari George Town turun ke Ipoh hingga Johor Bahru.

Hujah pembangunan yang dibawa oleh blok politik ini ialah untuk kemajuan rakyat. Isinya lain.

Ini naratif blok politik “pelbagai kaum” yang dibelakangnya ditunjangi oleh pemimpin dan sokongan bukan Melayu. Pengundi Melayu sedang dipujuk untuk menyokong blok politik ini dengan harapan Malaysia akan lebih makmur berbanding pemerintahan Melayu Islam ala PN dan BN yang tak bermoral.

Blok Politik Melayu Keparat

Blok kedua pula ialah blok politik yang berimejkan Melayu Islam tetapi keparat. Mereka juga membawa “pembangunan”, namun itulah jalan lunak untuk aktiviti rasuah.

Modus operandi blok politik ini menggunakan hujah cetek tentang kaum dan agama – kerajaan Melayu Islam. Hujah cetek ini hanya untuk menaikkan sentimen perkauman agar kerja-kerja rasuah mereka terlindung.

Kumpulan ini menggunakan kelebihan (advantage) pada kakitangan awam untuk mencuci otak mereka agar terus taat pada ulul amri sekalipun ulul amri ini perasuah. Kekotoran ulul amri ini dicuci dengan tajaan agama – surau, masjid, haji, umrah dan lain-lain. Namun masalah kos sara hidup rakyat, tak pernah selesai.

Kerosakan yang dibuat oleh blok politik Melayu keparat ini telah masuk hingga ke akar citra budi Melayu. Hinggakan cerita tentang “Melayu” dalam kalangan awam akan disinonimkan dengan amalan buruk dan tak bermoral seperti makan suap dan malas.

Bukti kerosakan yang dibuat oleh kumpulan ini cukup parah dan sangat nyata. Kita dah muak mendengar pengundi meminta wang hanya untuk mereka pergi mengundi (bukan semestinya undi untuk kamu).

Banyak lagi skrip-skrip yang “klise” yang muncul bila kita bertemu rakyat. Sebahagiannya:

“Bro, kalau bro nak kita orang support, kena la ada modal sikit. Kita bukan nak pow, kita cuma nak support je.”

“Dalam politik, kita kena follow je bos (menteri) kita. Kita settle dulu financial kita. Tak payah cerita pasal perjuangan itu ini. Dah kukuh baru kita cerita.”

Kerosakan yang dibawa oleh blok politik ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh blok politik pelbagai kaum dengan menggambarkan apa sahaja tentang “Melayu” maka ia bermaksud perkauman dan negatif.

Dan persepsi ini dijaja dan dimakan (subscribe) oleh ramai orang Melayu yang merasa geli dan jijik bila mendengar perbincangan tentang “Melayu”. Mereka ini telah set dalam minda mereka, apa saja tentang “Melayu” maka ia toksik, selesai.

Malah ada kumpulan Melayu yang “takut” nak menonton filem Mat Kilau, takut “rosak” minda mereka atau mereka dah set dalam kepala – itu filem “stereotype” Melayu: propaganda politik.

Rompakan politik

Apabila perspektif tentang “Melayu” ini menjadi negatif, maka mudahlah kerja-kerja merompak politik Melayu dilaksanakan oleh blok politik pelbagai kaum itu.

Naratifnya ini nanti akan membawa ke satu tahap baru, mungkin 5-10 tahun daripada sekarang, orang Melayu disahkan sebagai pendatang kerana ada usaha untuk menjalankan kajian ilmiah mengenai penduduk asal (pribumi-orang asal) yang sebenar di Malaysia.

Usaha ini sedang berjalan dan sudah barang pasti, ia tidak akan merugikan mereka.

Kita tersepit antara dua blok politik jahat ini. Kedua-dua blok politik ini tujuan akhirnya sama – untuk mengawal punca kuasa bagi kepentingan kelompok mereka.

Mereka tahu tabiat Melayu yang sentiasa berbudi dan memuliakan orang lain. Dan, inilah natijahnya apabila Melayu juling memahami sejarah bangsanya.

Kenapa Mat Kilau lari dan bersembunyi? Adakah kerana dia pengecut? Bukan, kerana ramai dalam kalangan kita adalah pengkhianat bangsa sendiri. – 27 Jun, 2022.

* Mahdzir Ibrahim, penyelaras Parlimen Parit Sulong, Parti Pejuang Tanah Air.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen