Ambil tindakan undang-undang ke atas pengkhianat Batu Puteh, kata MB Johor


Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata kekhilafan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu yang menarik balik rayuan tuntutan ke atas Batu Puteh bukan sahaja meninggalkan satu duluan atau 'precedent' yang buruk, tetapi turut mencatatkan satu detik hitam dalam sejarah negara yang berdaulat. – Gambar EPA, 26 Jun, 2022.

TINDAKAN undang-undang perlu diambil ke atas pengkhianatan yang telah menyebabkan negara kehilangan Batu Puteh, kata Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata kekhilafan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu yang menarik balik rayuan tuntutan ke atas Batu Puteh bukan sahaja meninggalkan satu duluan atau ‘precedent’ yang buruk, tetapi turut mencatatkan satu detik hitam dalam sejarah negara yang berdaulat.

“Sebagai sebuah negara yang berdaulat, tiada ruang untuk pemimpinnya mengambil ringan atau alpa dalam mempertahankan kedaulatan negara, walaupun sekecil atau sekelumit saiz kawasan yang menjadi rebutan, setiap inci perlu kita jaga dan pertahankan. 

“Kerajaan PH pada masa itu telah khilaf dengan menarik balik rayuan tuntutan ke atas Batu Puteh dan ia bukan sahaja telah meninggalkan satu precedent yang buruk kepada negeri dan negara, tetapi lebih daripada itu mencatatkan satu detik hitam dalam sejarah negara kita yang berdaulat. 

“Semoga tindakan undang-undang diambil ke atas pengkhianatan ini,” katanya ketika menggulung perbahasan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini.

Onn Hafiz berkata meskipun ada pihak beranggapan Batu Puteh yang berkeluasan saiz sebesar padang bola iaitu 8,560 meter itu tidak memiliki kepentingan ekonomi yang signifikan, namun ia mempunyai kepentingan dari sudut kedudukan strategik maritim serta terletak begitu dekat dengan Johor, iaitu 14.3 kilometer dari Tanjung Penyusop, Johor berbanding 46 kilometer dari Changi, Singapura.

Pada 16 Jun lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar semasa merasmikan pembukaan penggal persidangan pertama DUN ke-15 turut menzahirkan kekecewaan dengan keputusan kerajaan Persekutuan kerana membatalkan rayuan tuntutan Batu Puteh pada 2018. – Bernama, 26 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen