Kereta terjunam sungai: Mayat 3 beranak ditemukan


Kereta mangsa berjaya dinaikkan pada 3.30 pagi dan kesemua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – Gambar Facebook, 26 Jun, 2022.

MAYAT tiga beranak dikhuatiri lemas selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling (sempadan Baling-Sungai Petani), semalam ditemukan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata mayat Masyitoh Ibrahim, 37, dan dua anak lelakinya Muhammad Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Muhammad Ziyad Haziq, 5, dijumpai di dalam kereta jenis Proton Persona yang tenggelam di dalam sungai itu.

“Mayat guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Kampung Selarong, Kuala Ketil itu ditemukan bersama dua anaknya yang merupakan murid tahun satu dan prasekolah di sekolah yang sama. Kesemua mereka yang tinggal di Lorong Kemboja, Sungai Petani itu memakai tali pinggang keledar.

“Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Masyitoh dari arah Kuala Ketil menghala ke Sungai Petani hilang kawalan ke kiri jalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Muda,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata mayat tiga beranak itu dibawa ke Hospital Kulim untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.42 petang semalam berhubung kejadian sebuah kereta terbabas ke dalam sungai.

“Anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang membuat selaman berjaya menemukan kereta berkenaan kira-kira pukul 1.41 pagi di kedalaman 25 kaki. Anggota PPDA membantu memasang kabel bagi membolehkan kren membawa naik kereta itu ke darat.

“Kereta itu berjaya dinaikkan pada 3.30 pagi dan kesemua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 4.43 pagi,” katanya. – Bernama, 26 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen