Program BMTKM beri fleksibiliti buat ketua keluarga pilih kegiatan ekonomi, kata menteri


Menteri ekonomi Mustapa Mohamed berkata program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia memberi fleksibiliti kepada ketua isi rumah yang terlibat dalam memilih jenis perniagaan yang mahu mereka usahakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Jun, 2022.

PROGRAM Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) memberi fleksibiliti kepada ketua isi rumah (KIR) yang terlibat memilih kegiatan ekonomi yang mereka mahukan untuk meningkatkan pendapatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed bagaimanapun berkata KIR terbabit harus mempunyai minat dan asas dalam kegiatan yang mereka mahu usahakan.

Katanya, penekanan diberikan kepada aktiviti yang memberikan pulangan cepat dan berdaya maju selain adanya bantuan teknikal daripada rakan strategik BMTKM.

“Purata jumlah bantuan adalah RM10,000. Bagi nelayan RM10,000, tukang gunting dan tukang urut RM5,000 dan buat kuih RM10,000. Tapi yang mahalnya adalah buat kolam ikan,” katanya.

Ditemui pemberita selepas Majlis Gerak Mula Program BMTKM Di Lokaliti Daerah Pakan, Julau hari ini, Mustapa memberitahu tiada had siling bagi jumlah bantuan yang diberikan kepada KIR terlibat dalam program itu.

“Untuk kolam ikan ini kosnya adalah lebih RM40,000 untuk satu kolam dan kekangan yang dihadapi sekarang adalah kos makanan ikan yang meningkat dengan ketara,” katanya yang khuatir KIR tidak akan mendapat pulangan yang banyak lantas tidak dapat meningkatkan pendapatan mereka.

Program BMTKM itu telah memuktamadkan kegiatan ekonomi golongan sasar di enam daripada 10 lokaliti di Sarawak termasuk Pakan.

Mengikut perancangan awal, 10 lokaliti di Sarawak yang terbabit dalam program rintis fasa pertama itu ialah Gedong; Kampung Seberang Sebuyau, Sebuyau; Kampung Bakong, Lingga; Long Kajang, Belaga; Kampung Spaoh, Betong; Ulu Tinjar, Baram; Pakan; Lawas; Daro dan Telang Usan membabitkan 10,000 KIR.

Mustapa menambah setakat ini angka tersebut hanya mencecah kira-kira 1,000 KIR.

Berdasarkan statistik Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih) sehingga 15 Jun lepas, terdapat seramai 44,870 KIR miskin tegar di Sarawak, iaitu yang tertinggi berbanding negeri lain.

Matlamat program BMTKM adalah untuk mencapai kemiskinan tegar sifar pada akhir 2025, seperti yang telah ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). – Bernama, 24 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen