Bukti muncul lagi, China seksa etnik Uighur di Xinjiang


Seorang etnik Uighur, Tursunjan Mamat menunjukkan Al-Quran miliknya kepada wartawan, di rumahnya di aksu, barat Xinjiang. Beijing didakwa melakukan kekejaman terhadap Uighur dan memusnahkan masjid di wilayah itu. – Gambar EPA, 25 Mei, 2022.

TUDUHAN berkenaan China menganiayai masyarakat Islam minoriti kembali menjadi agenda dunia apabila sejumlah besar dokumen yang mengisahkan penderaan muncul semasa lawatan kontroversi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke wilayah itu.

Beijing yang didakwa melakukan kekejaman terhadap penduduk Uighur di negara itu kini mendapat perhatian masyarakat antarabangsa dan gesaan supaya tindakan diambil semakin lantang.

Pejuang hak asasi manusia menuduh Parti Komunis yang memerintah China melakukan penderaan meluas terhadap Uighur dan sebahagian besar etnik beragama Islam yang berbahasa Turki di wilayah barat Xinjiang.

Malah, Amerika Syarikat (AS) dan penggubal undang-undang di negara Barat lain sudah pergi lebih jauh dengan mendakwa China melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap kumpulan minoriti.

Beijing bagaimanapun berkata tindakannya di wilayah itu hanya untuk menghapuskan keganasan dan membangunkan semula ekonomi antara kawasan termiskin, sekali gus menafikan dakwaan pembunuhan beramai-ramai, menggelarnya sebagai pembohongan.

Penyelidik berkata pihak berkuasa China menahan lebih sejuta etnik Uighur dan minoriti Islam lain dalam rangkaian pusat tahanan rahsia dan penjara di Xinjiang.

Beijing pula mendakwa ia sekolah latihan vokasional yang dihadiri secara sukarela, tetapi bekas tahanan mendakwa dirogol, diseksa dan dipaksa indoktrinasi politik di dalam kemudahan terbabit.

Berdasarkan semakan ke atas dokumen kerajaan pada 2018, pengawal dilengkapi gas pemedih mata, senapang pegun dan belantan berpaku mengawal di pusat dikelilingi wayar berduri dan kamera inframerah.

Semua pendedahan itu dibuat ketika Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB Michelle Bachelet mendapat kebenaran kerajaan China melawat wilayah Xinjiang, yang disifatkan sesetengah pihak sebagai usaha Beijing untuk menutup dakwaan pencabulan, keganasan dan penderaan.

Sementara itu, aktivis mengadu wanita etnik minoriti Islam dimandulkan secara paksa bagi mengurangkan jumlah mereka di masa depan selain memaksa etnik berkenaan meninggalkan amalan agama, budaya dan bahasa tradisi mereka.

Malah, ada etnik Uighur mendakwa mereka dilarang bertutur bahasa sendiri dan meninggalkan ajaran agama termasuk mendirikan solat atau memiliki buku agama, malah tidak dibenarkan berjanggut panjang.

Sejumlah 16,000 masjid Xinjiang, sekitar dua pertiga daripada jumlah keseluruhan, dimusnahkan dan dirosakkan susulan dasar kerajaan yang diluluskan sejak 2017. – AFP, 25 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen