Negara anggota setuju ubah kaedah pembiayaan WHO


WHO menerima sumbangan daripada 194 negara anggotanya dan pertubuhan bukan kerajaan. – Gambar EPA, 25 Mei, 2022.

PANDEMIK Covid-19 yang mengejutkan dunia mendorong negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam bersetuju merombak kaedah pembiayaan dengan mengutamakan dana bagi projek keutamaannya sendiri.

Rombakan bajet itu bertujuan mengukuhkan agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, menjadikannya lebih cekap dalam bertindak balas terhadap krisis kesihatan global.

Perubahan itu akan memberi WHO aliran pendapatan lebih stabil dan kawalan ke atas sebahagian besar pembiayaan diterima melalui ibu pejabatnya di Geneva.

“Ini adalah detik bersejarah,” kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, ketika resolusi itu diterima pakai pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia, iaitu perhimpunan tahunan negara anggota yang bertindak sebagai badan pembuat keputusannya.

Beliau berkata ia akan mengubah kaedah pembiayaan WHO dan cara ia berfungsi.

“Ini akan memberi kami pentas pembiayaan yang boleh diramal dan mampan untuk menyampaikan strategi jangka panjang di beberapa negara,” katanya.

Negara anggota ketika ini menyalurkan sebahagian besar wang tunai ke dalam projek kesihatan jangka pendek pilihan mereka, yang boleh berubah-ubah.

Bagaimanapun, anggota kini akan beralih kepada kaedah memberikan separuh daripada sumbangan WHO mereka sebagai yuran keahlian, memberikan pertubuhan itu lebih keanjalan.

Tedros, yang dipilih semula menerajui badan dunia itu awal Selasa lalu, menjadikan matlamat merombak kewangan agensi itu sebagai keutamaan kepemimpinannya.

Beliau memberi amaran kepada negara anggota sama ada ia dilakukan sekarang atau tidak langsung, selepas krisis Covid-19 mendedahkan kelemahan persediaan sedia ada.

“Pandemik menunjukkan mengapa dunia memerlukan WHO, dan mengapa dunia memerlukan WHO yang lebih kuat, diperkasa serta dibiayai secara mampan,” kata Tedros kepada perhimpunan itu.

WHO menerima sumbangan daripada 194 negara anggotanya dan pertubuhan bukan kerajaan.

Yuran keahlian negara anggota, yang kadarnya dikira berdasarkan kekayaan dan jumlah penduduk, hanya menyumbang 20% daripada dana WHO.

Kebanyakan sumbangan kini diterima WHO dalam bentuk derma sukarela daripada negara anggota dan dermawan, yang dibelanjakan khusus untuk tujuan yang ditetapkan oleh mereka.

Bajet untuk program dua tahun 2022-2023 ialah AS$6.12 bilion, meningkat 5% berbanding bajet AS$5.84 bilion bagi 2020-2021.

Penyumbang terbesar yuran keahlian ialah Amerika Syarikat (AS$219 juta), China (AS$115 juta), Jepun (AS$82 juta), Jerman (AS$58 juta) dan Britain (AS$44 juta). – AFP, 25 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen