Menteri BRICS mahu kerjasama revolusi perindustrian baharu diperkasa


Menteri Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China, Xiao Yaqing berkata negara itu akan mengadakan sinergi dengan pihak terbabit untuk memperdalam kerjasama inovatif berhubung revolusi perindustrian baharu. – Gambar EPA, 24 Mei, 2022

CHINA akan mengadakan sinergi dengan pihak-pihak terbabit untuk memperdalam kerjasama inovatif berhubung revolusi perindustrian baharu bagi mencapai matlamat pembangunan mampan menerusi cara lebih kukuh, sihat dan berdaya tahan.

Demikian kata Menteri Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT), Xiao Yaqing ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Perindustrian BRICS keenam secara maya semalam.

BRICS terdiri lima negara ekonomi utama yang sedang berkembang di dunia iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Sepanjang mesyuarat anjuran MIIT itu berlangsung, antara agenda yang dibincangkan merangkumi pemerkasaan kolaborasi secara menyeluruh, pemantapan transformasi digital industri konvensional serta peningkatan kerjasama rantaian perindustrian dan rantaian bekalan. 

Xiao turut menyingkap kembali sejarah dan kemajuan dicapai sejak mesyuarat berkenaan edisi pertama yang dilancarkan pada 2015.

“Dengan adanya usaha berterusan, kerjasama praktikal sesama anggota BRICS dalam bidang perindustrian membuahkan lebih banyak hasil menyusuli jalinan Perkongsian BRICS bagi Revolusi Perindustrian Baharu (PartNIR) serta penubuhan pusat inovasi berkenaan,” katanya.

Menurut Xiao, tatkala dunia bergelut dengan penularan pandemik Covid-19 dan perubahan drastik yang tidak pernah dilihat sebelum ini, China mengambil langkah proaktif untuk mengimbangi tindak balas wabak dan pembangunan sosioekonomi.

Peserta mesyuarat turut sebulat suara menerusi deklarasi bersama untuk memperkasakan kerjasama perindustrian dan membentuk suasana pembangunan yang terbuka, saksama, dinamik dan berdaya tahan.

Antara syor lain yang dikemukakan termasuk membentuk satu sistem kerjasama yang stabil, selamat dan saling menguntungkan membabitkan rantaian perindustrian dan bekalan serta memantapkan pemulihan ekonomi sektor perindustrian. – Bernama, 24 Mei, 2022


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen