Menunggu perubahan dinamik kepimpinan Umno


UMNO menyambut hari kelahirannya yang ke-76 tahun, esok. Sudah tujuh abad ataupun lebih 70 tahun Umno berada di persada politik negara.

Semenjak Merdeka tahun 1957, Umno menguasai kerajaan persekutuan sehinggalah Umno hilang kuasa pada 9 Mei 2018.

Di bawah kepimpinan Najib Razak sebagai presiden Umno dan perdana Menteri, Umno kehilangan kuasa.

Umno hilang kuasa apabila bekas presiden Umno sendiri yang menikam Umno di Pilihan Raya Umum ke-14.

Sesungguhnya Umno hanya mampu dikalahkan oleh bekas-bekas pemimpin terdahulu Umno sendiri. 

Apa pun, perlu diperingatkan Umno kalah bukan kerana rakyat tersalah pilih ataupun rakyat tertipu dengan janji-janji manis pemimpin Pakatan Harapan.

Tetapi Umno kalah kerana isu-isu yang terpalit di dada pemimpin Umno ketika itu, yang tidak berjaya diterangkan dan diselesaikan.

Isu skandal kewangan terbesar di dunia 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak diselesaikan oleh Umno dan kerajaan yang memerintah ketika itu.

Kesalahan pemimpin Umno yang merupakan kerajaan ketika itu, mahu berdagang dan berniaga menggunakan entiti bernama 1MDB, membawa padah, bencana dan mengundang pelbagai reaksi daripada rakyat menyebabkan kerajaan Barisan Nasional (BN)-Umno akhirnya jatuh dan tersungkur.

Sekiranya ketika itu, sebelum 9 Mei 2018, pemimpin tertinggi Umno mengundurkan diri dan memberi laluan kepada pemimpin-pemimpin pelapis mengambil alih, besar kemungkinan Umno tidak akan berhadapan dengan kekalahan.

Dr Mahathir Mohamad mengundurkan diri pada 2003, untuk memberi laluan kepada Abdullah Badawi membawa Umno-BN menang besar pada Pilihan Raya Umum 2004.

Dr Mahathir mengundurkan diri tepat pada waktunya setelah mengambil kira keputusan Pilihan Raya Umum 1999, banyak memperlihatkan sokongan dan populariti beliau sudah menurun akibat perbalahan dengan Anwar Ibrahim, yang ketika itu dipenjarakan.

Kini, walaupun Umno belum menang pilihan raya umum, pemimpin Umno kembali menguasai kerajaan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Walaupun pada ketika ini, BN-Umno menguasai kerajaan persekutuan dengan berkongsi kuasa dalam sebuah kerajaan campuran bersama Perikatan Nasional, setidak-tidaknya, negara berada di landasan yang betul untuk memulihkan ekonomi negara serta kehidupan rakyat setelah dilanda tsunami pandemik Covid-19. 

Siapa sangka pada 2020 sehingga 2022, dua tahun negara dan dunia berhadapan dengan satu pandemik yang telah meragut berjuta nyawa seluruh dunia.

Pandemik seumpama ini hanya berlaku 100 tahun sekali.

Menjadi harapan rakyat terutamanya orang Melayu di negara ini, agar kekalahan Umno pada 9 Mei 2018, hanya berlaku 61 tahun sekali.

Negara dan rakyat kelihatan amat selesa dengan kepimpinan yang ditunjukkan oleh Ismail Sabri setakat ini.

Keprihatinan beliau terhadap rakyat yang berhadapan dengan pandemik Covid-19 semenjak beliau memegang jawatan menteri pertahanan dan merupakan jurucakap utama kerajaan ketika itu, sering memberikan ketenangan kepada rakyat yang berhadapan dengan satu wabak penyakit yang boleh membawa maut.

Langkah-langkah yang diambil ketika itu di bawah kabinet perdana menteri Muhyiddin Yassin, terbukti hari ini, adalah tepat dan berkesan kerana pada hari ini negara sudah berada pada tahap endemik dan dalam proses pemulihan.

Dan apabila Majlis Kerja Tertinggi Umno mengambil keputusan agar Ismail Sabri dikekalkan sebagai “poster boy” ataupun calon perdana menteri Umno untuk Pilihan Raya Umum ke-15 nanti, ini memberikan satu sinar baru kepada landskap politik negara, di mana peralihan kuasa dan kepimpinan dalam parti Umno akan berlaku.

Negara perlukan satu perubahan yang dinamik terhadap kepimpinan Umno.

Pemimpin-pemimpin Umno pula perlu mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi untuk mengundurkan diri tepat pada waktunya.

Untuk memberi nafas dan harapan baru kepada negara dan orang Melayu, pemimpin-pemimpin lama ini perlu mengundurkan diri dan memberi laluan kepada barisan pelapis untuk terus membawa obor perjuangan ini mara ke hadapan, demi memastikan Umno terus relevan dan diterima oleh rakyat.

Selamat ulang tahun yang ke-76, Umno Malaysia. – 10 Mei, 2022.

* Saiful Bahar, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen