Inflasi dan kuasa belia rakyat selatan: Apa rancangan MB Johor?


MENURUT laporan media Singapura baru-baru ini Ringgit Malaysia susut ke parasnya yang terendah dalam masa hampir lapan bulan, berbanding dolar Singapura. Dalam perdagangan pasaran mata wang, ringgit terduduk pada paras RM3.10 berbanding dolar Singapura.

Hal ini turut dilaporkan di Malaysia bahawa Ringgit terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat untuk sesi keempat berturut-turut dan mata wang tempatan kita terus susut kepada RM4.28.

Pada masa sama, Indeks Harga Pengguna (IHP) Jabatan Perangkaan Malaysia yang mengukur kadar inflasi di Malaysia telah meningkat kepada 2.2 peratus pada Februari lalu, sekaligus melepasi purata inflasi bagi tempoh 2011 hingga Februari 2022 iaitu 1.9 peratus pada Februari 2022.

Jika kita lihat siri-siri laporan ini, jelas ia suatu khabar yang akan menjadi suatu kebimbangan kepada kita semua. Kebimbangan ini berasas kerana, dalam tempoh enam bulan ke hadapan, bagaimana kita sebagai rakyat nak menghadapi pelbagai lagi kenaikan barangan keperluan hidup.

Dalam perkembangan sama, seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian, menteri besar Johor ada mengulas mengenai kejatuhan nilai RM berbanding SGD sebagai suatu kelebihan kerana berpendapat ia akan menggalakkan lebih ramai rakyat Singapura datang berbelanja di Malaysia, khususnya Johor.

Hafiz Onn seterusnya menjelaskan bahawa rakyat Singapura akan mempunyai kuasa beli yang lebih tinggi berikutan kekuatan SGD dan akan terus berbelanja di Johor.

Bagi saya kenyataan MB Johor ini agak mengelirukan dan menghantar mesej yang salah.

Pandangan beliau seolah-olah kejatuhan nilai ringgit berbanding Dolar Singapura dianggap sebagai satu kelebihan atau rahmat kepada rakyat, dengan beliau meletakkan harapan orang Singpura akan berbelanja di Malaysia.

Jika mengikut lojik MB Johor ini, yang untung hanya rakyat Singapura dan juga golongan peniaga, bukan keseluruhan rakyat apatah lagi ‘keluarga Malaysia’.

Impak ekonomi ini tidak menyeluruh dan bersifat sementara – sekali air bah, sekali pasir berubah.

Pertama perlu kita ingat bahawa yang akan mewah berbelanja nanti ialah rakyat Singapura sedangkan aktiviti ekonomi kita seharus menguntungkan rakyat Malaysia atau Johor, bukan rakyat negara asing.

Keadaan ini akan menjadikan kuasa beli rakyat tempatan kekal ditakuk lama. Malah ia semakin mengecil apabila peniaga-peniaga tempatan menaikkan harga barangan bagi pelanggan Singapura yang dikatakan mempunyai kuasa beli yang lebih besar berbanding rakyat tempatan.

Jika ini dibiarkan, ia menunjukkan dasar ekonomi kita tidak betul kerana kita tak berusaha untuk mengawal kadar inflasi yang akan meningkat dan akhirnya keadaan ini akan merugi dan membebankan rakyat sendiri.

Saya ingin bertanya kepada Menteri Besar Johor:

i. Apakah perancangan beliau untuk menangani masalah inflasi yang semakin meningkat ini di peringkat negeri? Apakah strategi beliau?

ii. Apakah jalan keluar oleh kerajaan negeri untuk memastikan kuasa beli rakyat tempatan terus kukuh demi menjamin kemapanan aktiviti ekonomi negeri Johor?

Isu tarif air di Johor yang merupakan kadar yang termahal di Malaysia, seharusnya dengan mudah beliau boleh selesaikan.

Isu lambakan rumah-rumah tidak terjual di negeri Johor, juga tidak seharusnya jadi masalah untuk beliau selesaikan.

Semua ini kerana beliau mendapat sokongan yang kukuh. Dengan mandat politik dua pertiga yang beliau miliki, seharusnya beliau tidak ada masalah untuk merangka pelan dan strategi yang terbaik sambil makan popcorn.

Selain sumbangan ehsan dan kebajikan yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada rakyat baru-baru ini, kita mahu tahu apakah rancangan beliau yang lebih konkrit untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

Apakah rancangan Johor dalam tempoh pelan pemulihan negara untuk tahun ini dan hadapan?

Adakah beliau akan menabur lebih banyak wang sebagai bantuan ehsan yang tidak memberi impak struktural kepada daya tahan ekonomi negeri?

Saya menanti jawapan dan perancangan beliau dan pastinya beliau mempunyai idea untuk semua masalah ini. – 9 Mei, 2022.


* Mahdzir Ibrahim, Ahli Parti Pejuang Tanah Air.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen