Pemilihan parti: Ke mana arah tujuan Umno?


PEMILIHAN parti Umno perlu diadakan sebelum 30 Disember 2022. Ini merupakan tarikh terakhir pemilihan Umno perlu diadakan, setelah Umno mendapat penangguhan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS) selama 18 bulan, selaras dengan peruntukan perlembagaan Umno.

Penangguhan dilakukan ketika itu kerana negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

DAP sudah selesai adakan mesyuarat agung kebangsaan dan pemilihan parti. PKR juga akan mengadakan persidangan dan pemilihan parti mereka dalam waktu terdekat ini.

Sekiranya mengikut arahan RoS, Umno perlu mula mengadakan mesyuarat cawangan dan pemilihan pucuk pimpinan cawangan paling lewat pada September hingga Oktober ini. Diikuti dengan pemilihan bahagian dan pemilihan pucuk pimpinan Umno Malaysia pada November atau Disember 2022.

Pemilihan pucuk pimpinan Umno kini dilakukan di peringkat bahagian Umno untuk memilih presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden, ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan semua jawatan dalam parti.

Terkini timbul pula cerita Umno Malaysia mahu menangguhkan lagi pemilihan parti dengan menggubal peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam perlembagaan parti agar pemilihan diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara ini cuba dilakukan dengan mengadakan satu perhimpunan agung khas (EGM).

Persoalannya:

Pertama, sudahkah Setiausaha Agung (SUA) Umno memaklumkan kepada RoS tarikh baharu pemilihan parti bagi menggantikan tarikh-tarikh pemilihan parti yang sepatutnya diadakan pada Jun 2021?

Kedua, sudahkah SUA Umno memohon kebenaran daripada RoS untuk mengadakan satu EGM bagi meminda perlembagaan parti, menangguhkan pemilihan di peringkat cawangan, bahagian dan menangguhkan pemilihan di peringkat tertinggi pucuk pimpinan Umno?

Ketiga, sudahkah SUA Umno memaklumkan kepada Ahli-Ahli MKT mengenai perkara-perkara berkaitan dengan pemilihan parti, penangguhan serta perkara-perkara yang diminta oleh RoS?

Dimaklumkan, RoS sudah berkali-kali meminta SUA Umno Malaysia mengemukakan tarikh-tarikh baharu pemilihan Umno, setelah pemilihan yang sepatutnya diadakan pada Jun 2021 ditangguhkan.

Keempat, adakah dengan mengadakan satu EGM untuk menangguhkan pemilihan Umno Malaysia ini boleh dan akan ditafsirkan sebagai melanggar arahan RoS yang mahukan pemilihan Umno diadakan sebelum 30 Disember 2022, mengikut arahan serta persetujuan terdahulu berikutan penangguhan pemilihan selama 18 bulan.

Peruntukan undang-undang RoS amat jelas mengenai pemilihan pucuk pimpinan parti Umno.

Sekiranya Umno meneruskan satu EGM untuk meminda perlembagaan parti, berkemungkinan besar Umno akan berhadapan dengan satu isu undang-undang, melanggar arahan daripada RoS.

Amat tidak wajar sekiranya Perdana Menteri (yang diwakili Umno) diminta untuk melonggarkan peruntukan undang-undang ini untuk Umno. Manakala, parti-parti politik yang lain sudah pun mengadakan persidangan agung dan pemilihan parti masing-masing, pasca pandemik Covid.

Perlu diperingatkan juga penangguhan pemilihan Umno dilakukan untuk kali pertama kerana pandemik Covid-19.

Penangguhan kedua pemilihan parti kali ini mahu dilakukan kerana Umno akan berhadapan dengan PRU15, yang perlu diadakan sebelum Julai 2023.

Dengan tidak mengetahui tarikh sebenar bila PRU15 akan diadakan, adakah SUA Umno mahu meminda perlembagaan Umno agar pemilihan parti ditangguhkan sehingga Julai 2023?

Ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi semakin keliru dengan perkara-perkara yang berlaku dalam Umno Malaysia serta mengenai EGM yang bakal akan diadakan dalam waktu terdekat ini.

Ahli-ahli Umno menunggu penjelasan daripada SUA Umno Malaysia serta Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno mengenai empat perkara tersebut di atas.

Ke mana arah tujuan Umno mengenai soal pemilihan parti serta PRU15? – 6 Mei, 2022.

Saiful Bahar, pembaca The Malaysian Insight

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen