Surat terbuka kepada ketua hakim negara


YANG Amat Arif,

Kelmarin saya terdengar ucapan Yang Amat Arif pada majlis mengangkat sumpah jawatan dan taat setia hakim mahkamah tinggi.

Sebagai rakyat biasa yang boleh dihakimi hakim di mahkamah, saya lihat secara amnya ucapan Yang Amat Arif tersebut adalah baik.

Namun demikian, ada beberapa perkara di dalam ucapan Yang Amat Arif tersebut yang pada hemat saya yang marhaen ini, mendatangkan kekhuatiran rakyat.

Yang Amat Arif berkata, “apa yang berlaku dalam beberapa hari ini yang membabitkan tohmahan terhadap hakim dan badan kehakiman, pada pandangan saya, agak keterlaluan.”

Dan, kemudian dalam bahasa Inggeris Yang Amat Arif berkata: “Hence, citizens including politicians are, to a certain extent, free to criticise the Judiciary. However, that does not mean that it is open to citizens including politicians to level unfounded and scurrilous attacks against the Judiciary or a particular judge to further their own end.”

(“Lantas, rakyat termasuk ahli politik, sehingga batas tertentu, bebas untuk mengkritik hakim. Tetapi, itu tidak bermakna ia terbuka untuk rakyat termasuk ahli politik mengkritik hakim sehingga tahap tidak berasas dan serangan fitnah terhadap badan kehakiman atau seseorang hakim untuk tujuan tertentu.”)

Dan, Yang Amat Arif berkata lagi: “It is important to emphasise that the Judiciary is the last line of defence in a constitutional democracy and there must never be a suspicion that the Judiciary is captured.”

(“Adalah amat penting untuk ditekankan badan kehakiman adalah benteng pertahanan terakhir dalam demokrasi berpelembagaan dan tidak boleh ada kesangsian bahawa badan kehakiman telah dicemari.”)

Sebagai rakyat biasa dan dalam bahasa ringkas, pandangan marhaen saya adalah begini:

Pertama, saya khuatir sekiranya Yang Amat Ariff membuat andaian yang kritikan terhadap hakim tersebut baru-baru ini adalah semata-mata tohmahan atau serangan fitnah yang tidak berasas walhal perkara ini belum lagi habis disiasat pihak berkuasa.

Pada saya, rakyat seperti kami bukan mahu hakim yang dituduh tersebut terus dihukum tetapi kami hanya mahu dia disiasat dahulu seperti orang lain yang dituduh atas kesalahan jenayah seperti rasuah.

Jika dia tidak bersalah atau tiada bukti yang dia bersalah selepas disiasat, maka imej badan kehakiman akan lebih terjaga. Sebaliknya jika dia bersalah namun tidak boleh disiasat maka kredibiliti dan reputasi badan kehakiman akan terus dipersoal.

Dan jika hakim tidak boleh disiasat atas tuduhan jenayah oleh pihak berkuasa dan apabila disiasat, rakan-rakan hakim mereka terus berkata ia adalah tohmahan semata-mata walaupun siasatan baru bermula atau belum selesai, maka bagaimana rakyat ingin percaya bahawa badan kehakiman itu adil dan tidak bias?

Walhal orang lain dan rakyat biasa yang dituduh atas sesuatu jenayah akan disiasat dan diadili hakim ini mengikut proses undang-undang (due process).

Saya khuatir jika ini membawa kepada persoalan adakah hakim tidak perlu menjalankan due process seperti rakyat biasa yang lain apabila mereka melakukan jenayah.

Apa akan jadi kepada persepsi rakyat terhadap badan kehakiman sekiranya hakim tersebut memang benar bersalah tetapi dia tidak disiasat, atau sebelum disiasat rakan-rakan hakimnya telah buat keputusan mengandaikan ia adalah tohmahan semata-mata?

Perkara seperti ini membantutkan pencarian kebenaran. Malah ia menggugat keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman.

Jika rakyat tidak yakin dengan sistem kehakiman, undang-undang dan keadilan sukar untuk ditegakkan.

Saya setuju dengan ucapan Yang Amat Arif yang mengatakan bahawa tidak boleh ada kesangsian badan kehakiman dicemari.

Namun jika perkara di atas berlaku iaitu hakim tidak disiasat atas tuduhan jenayah malah jika awal-awal lagi sudah diandaikan bahawa tuduhan terhadap hakim itu adalah tohmahan semata (waima secara am), maka ini sebenarnya akan lebih lagi meningkatkan kesangsian bahawa badan kehakiman dicemari dan bukan sebaliknya.

Di luar negara, hakim tidak terlepas dari disiasat pihak berkuasa seperti polis, dan ada yang masuk penjara kerana kesalahan jenayah.

Pada 2014 di UK, seorang pegawai badan kehakiman dan hakim separuh masa Constance Briscoe disiasat dan ditangkap polis kerana jenayah, dia diadili dan disabitkan kesalahan dengan hukuman 16 bulan penjara. Walaupun dia hanya hakim separuh masa, tetapi dia tetap tidak terlepas daripada siasatan.

Pada tahun yang sama di Kazakhstan, seorang hakim Kuplash Otemisova disiasat, disabit dan dipenjara kerana membuat keputusan yang salah di mahkamah apabila dia melepaskan seorang ahli perniagaan.

Pada 2011 di Amerika, hakim Mark Ciavarella Jr telah dipenjara selama 28 tahun kerana menerima rasuah dari pembina penjara juvenil yang mana dia memenjarakan 4,000 juvenil atas kesalahan kecil yang tidak sepatutnya disabitkan.

Pada 2009 di Australia, bekas hakim Mahkamah Persekutuan Australia, Marcus Einfield disiasat polis dan disabitkan kesalahan dan masuk penjara selama tiga tahun kerana menipu atas kesalahan membawa kenderaan dengan laju.

Semua hakim ini disiasat pihak berkuasa polis sebelum diadili dan dihakimi.

Yang Amat Arif juga ada berkata seperti di atas badan kehakiman adalah benteng pertahanan terakhir dalam demokrasi berperlembagaan.

Saya faham apa yang Yang Amat Arif maksudkan. Namun konsep pengasingan kuasa bermakna badan kehakiman tidak boleh menutup pintu untuk disiasat jika hakim melakukan jenayah. Tribunal kehakiman tidak memadai untuk menyiasat kes jenayah hakim.

Seperti kata Daymon Keith, hakim mahkamah rayuan di Amerika pada 2002 dalam kes terkenal Detroit Free Press v Ashcroft, apabila ada pihak tidak mahu sesetengah bukti dan siasatan dibuka di mahkamah, beliau tidak bersetuju dan berkata, “Democracies die behind closed doors” (demokrasi akan mati di belakang pintu tertutup).

Jika hakim tidak boleh disiasat pihak berkuasa dan hanya disiasat rakan mereka sendiri di belakang pintu yang tertutup, maka demokrasi akan mati, dan badan kehakiman tidak akan lagi menjadi benteng pertahanannya malah ia akan menjadi penyebab keruntuhannya.

Apa yang Daymon Keith kata di Amerika di atas tersebar di seluruh dunia termasuklah di sistem kehakiman common law di England, yang menjadi asas sistem perundangan Malaysia.

Akhir kata, saya tahu Yang Amat Arif tentunya lebih arif berkenaan Rule of Law, yang mana antara asasnya ialah semua orang adalah sama di mata undang-undang tidak kira status, warna kulit, jantina atau jawatan.

Jika hakim tidak boleh disiasat pihak berkuasa apabila mereka dituduh melakukan jenayah atau terus diandaikan tuduhan ke atas mereka adalah tohmahan semata-mata, maka Rule of Law tidak akan dapat ditegakkan dan akan berakhir.

Dan apabila ini berlaku, maka apa yang John Locke kata dahulu akan menjadi kenyataan, iaitu, “Wherever law ends, tyranny begins.” (Di mana undang-undang berakhir, di situlah bermula kezaliman).

Kita tidak boleh biarkan ini berlaku.

Sekian, salam hormat dan selamat berpuasa. – 30 April, 2022.

*Isham Jalil ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen