Mana pelan mitigasi banjir Kuala Lumpur?


SEMALAM sekali lagi banjir kilat terjadi di beberapa kawasan Kuala Lumpur dan Selangor sehingga menyebabkan beberapa kawasan tidak dapat digunakan antaranya adalah Jalan Parlimen, Jalan Kuching, Jalan Travers, Jalan Tunku Abdul Halim, Jalan Semantan, Pintasan Segambut, Jalan Segambut, Jalan Kinabalu, Lorong Maroof, Jalan Thambi Abdullah, Sentul dan beberapa kawasan lain lagi.

Namun begitu, semua sedia maklum isu banjir ini bukan pertama kali malah sudah beberapa kali terjadi semenjak penghujung tahun lepas dan awal tahun ini. 

Sehingga sekarang pelan mitigasi banjir yang dijanjikan di Dewan Rakyat juga masih belum dibentangkan oleh kerajaan hari ini. 

Berapa lama sebenarnya masa yang perlu diambil untuk mengkaji isu banjir ini? 

Pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat Januari yang lepas Dr Abdul Latiff Ahmad iaitu menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyatakan negara masih belum mempunyai Akta Pengurusan Bencana dan kerajaan sedang mempercepatkan penggubalan akta tersebut namun sehingga sekarang kita tidak tahu ke mana hasil penggubalan data tersebut.

Nadma juga seolah-olah masih belum bersedia dengan sebarang kemungkinan banjir. 

Malah sangat menghairankan apabila kerajaan masih gagal mengoptimumkan fungsi Jabatan Meteorologi Malaysia untuk memberi amaran awal kepada rakyat di sesetengah kawasan mengenai perubahan cuaca.

DBKL juga turut menubuhkan Task Force Banjir Kilat dan meluluskan dana sebanyak RM 25 juta bagi menyelesaikan isu banjir kilat di Kuala Lumpur bersama Institut Kerja Raya Malaysia yang dilaporkan akan dibentangkan April ini namun sehingga sekarang tiada khabar berita mengenainya.

Saya mendesak DBKL dan Institut Kerja Raya Malaysia untuk mengeluarkan hasil siasatan yang dijalankan seperti dijanjikan pada Februari lepas. 

Jangan lakukan kerja hangat-hangat tahi ayam sahaja pada akhirnya tiada perkembangan mengenai apa yang dijanjikan. – 26 April, 2022.

* P Prabakaran, Ketua Angkatan Muda Keadilan Wilayah Persekutuan



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen