Kaliskan masa depan minyak sawit daripada ancaman propaganda Barat


TENTANGAN ekonomi maju terhadap minyak sawit - minyak masak yang paling banyak dihasilkan, digunakan dan diperdagangkan - semuanya bagi melindungi perdagangan kacang soya (minyak makan kedua paling banyak dihasilkan), sememangnya sudah diketahui. 

Malah, Parlimen Kesatuan Eropah (EU) mengundi agar biofuel berasaskan sawit diharamkan sepenuhnya menjelang 2021, manakala biofuel berasaskan tanaman-tanaman lain akan dihadkan pada 7% sebelum pengurangan secara beransur-ansur kepada 3.8% menjelang 2030. 

Tindakan sedemikian dikaitkan dengan kepercayaan EU yang penanaman kelapa sawit harus dipersalahkan dalam kemusnahan hutan.

Satu lagi larangan perdagangan yang menjejaskan eksport minyak sawit Malaysia datang daripada Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) untuk menyekat import minyak sawit ke dalam ekonomi terbesar dunia itu atas dakwaan kononnya ada penggunaan buruh paksa. 

Dalam kes EU, eksport minyak sawit ke benua Eropah menghadapi pelbagai haalangan walaupun pengeksport komoditi itu dari Asia secara sukarela mematuhi peraturan pensijilan mampan di bawah skim Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Lestari atau RSPO. 

Malah, walaupun menjadikan keperluan kemampanan sebagai mandatori, ia sebenarnya bukanlah satu isu bagi pengeksport memandangkan minyak sawit yang mampan akan menerima harga pasaran yang premium. 

Namun, kegagalan atau sikap teragak-agak pihak EU dalam mengiktiraf Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) Malaysia dan Indonesia, iaitu Sertifikasi Perkebunan Kelapa Sawit Indonesia (ISPO) menghadirkan kebimbangan yang serius kepada kedua-dua negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia itu. 

Ia satu keadaan yang pelik memandangkan Eropah hanya menyumbang 6.4% daripada pasaran minyak sawit dunia, namun RSPO yang berlagak seperti kartel, berusaha untuk mengumpul tekanan daripada pengguna di pasaran Barat yang kaya raya untuk dilimpahkan kepada pengeluar minyak sawit Asia. 

Imbas semula, Indonesia adalah negara pertama membangunkan skim pensijilan kebangsaannya sendiri, iaitu ISPO pada 2011, diikuti Malaysia empat tahun selepas itu dengan MSPO. 

Sejak itu, kedua-dua negara berkempen secara global untuk mendapatkan pengiktirafan piawaian masing-masing serta hak untuk mentakrif minyak sawit yang mampan berdasarkan terma-terma dan syarat-syarat mereka sendiri. 

Padang yang tidak sama rata 

Serangan tidak adil dan dakwaan baharu terus memburuk dan menjatuhkan industri di tengah-tengah aspek perundangan dan standard pensijilan sedia ada atas alasan bagi memastikan hak-hak pekerja dilindungi, sedangkan hakikatnya, penanaman kelapa sawit hanya melibatkan 0.31% daripada 5 bilion hektar kawasan pertanian global. 

Seperti yang diketengahkan oleh Ahli Pusat Kajian Kemampanan Minyak Sawit Gambia atau Gambian Centre for Sustainable Palm Oil Studies (CSPO), Muhammed Magassy, tidaklah mengejutkan jika pengeluar minyak sawit utama seperti Malaysia dan Indonesia menganggap pendirian anti-minyak sawit EU sebagai “aparteid tanaman” memandangkan tingkah laku sedemikian menghidupkan semula asal-usul industri yang eksploitatif dan kolonial. 

Ketika larangan biofuel oleh EU dilaksanakan, ia pada masa yang sama memberikan perlindungan yang licik apabila mengecualikan produk biji-biji minyak Eropah seperti “rapeseed”, sejenis tumbuhan selalu ditanam untuk menghasilkan minyak, dan juga biji bunga matahari - yang sebenarnya memerlukan lebih banyak tanah, air dan baja berbanding sawit - daripada sebarang jenis denda ekonomi.

“Kami di Afrika sangat tahu perkara ini; Dasar Pertanian Bersama (CAP) EU menyediakan subsidi tahunan sebanyak Euro €42 bilion (RM196.2 bilion) kepada petani domestik, dengan itu mengukuhkan keupayaan mereka untuk mengeksport pada harga rendah ke negara membangun,” hujah Muhammed Magassy dalam artikel bertajuk “Green Trade War on Palm Oil” yang diterbitkan oleh e-majalah The Parliament berpangkalan di London. 

“Ini memberikan pengeluar Eropah kelebihan yang tidak adil dalam pasaran seperti Afrika, menyebabkan petani tempatan muflis.” 

Bayangkan sikap berat sebelah ini dibenarkan berleluasa walaupun minyak sawit juga mempunyai banyak manfaat kesihatan yang telah mendorong Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) melancarkan kempen Minyak Sawit Malaysia Penuh Kebaikan untuk mempamerkan inisiatif serta pengurusan industri minyak sawit Malaysia yang mampan. 

Menghapus halangan 

Menghalang kemasukan minyak sawit sememangnya mencetuskan kebimbangan mendalam dalam kalangan pemain industri global yang khuatir keputusan sedemikian boleh mempengaruhi destinasi eksport utama lain untuk mengikuti langkah berkenaan.

Sejak akhir-akhir ini, kempen anti-kelapa sawit dilihat disemarakkan semula - malah di peringkat sekolah juga - dengan mengaitkan kemunculan ladang-ladang sawit dengan kepupusan spesies orang utan. 

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, stigma sebegitu muncul walaupun terdapat undang-undang untuk melindungi dan melarang pengembangan penanaman kelapa sawit di bawah program pemuliharaan sedia ada. Nampaknya tidak kira berapa banyak langkah pencegahan yang dilaksanakan, ia tidak pernah mencukupi. 

Walaupun Malaysia dan negara jirannya, Indonesia yang merupakan dua pengeluar minyak sawit terbesar dunia tidak mempunyai niat untuk bermusuh, sudah tentu telah tiba masanya untuk industri minyak sawit mengambil tindakan yang lebih proaktif dan agresif untuk menangkis dakwaan tidak berasas oleh pesaing kuat di luar sana yang giat berkempen mempromosi jenis minyak sayuran boleh dimakan yang lain.

Sudah tiba masanya untuk semua badan pensijilan yang berkenaan tampil mempertahankan minyak sawit, menepis semua dakwaan itu. Sama ada peluangnya tipis atau sebaliknya, Malaysia dan Indonesia mesti secara proaktif meneruskan tindakan undang-undang mereka yang difailkan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) terhadap sekatan EU ke atas biodiesel minyak sawit. 

Kebenaran mesti dihebahkan 

Seperti yang ditegaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Bhd, Mohd Nazrul Izam Mansor pada Sidang Kemuncak Minyak Sawit Kalis Masa Depan (FPPO 2021) November tahun lepas, pengeluar makanan dan perniagaan tani itu meletakkan komitmen yang kukuh terhadap pertimbangan kepentingan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam semua tindakan dan usahanya. 

Ini jelas terkandung dalam dasar kemampanan kumpulan syarikat berkenaan, di mana FGV menerima dan mengguna pakai komitmen tiada penebangan hutan, tiada penanaman di atas tanah gambut dan tiada eksploitasi buruh paksa. 

Dalam usahanya untuk memulihara biodiversiti dan hidupan liar, kumpulan itu telah memulakan inisiatif tiga tahun yang baharu bagi melindungi dan meningkatkan nilai pemuliharaan dan kawasan simpanan karbon yang tinggi dalam persekitaran ladangnya dengan menanam spesies pokok asli dan pokok buah-buahan liar yang cepat membesar. 

“Perlindungan hidupan liar dan pengurusan konflik manusia-hidupan liar kekal menjadi keutamaan tinggi bagi FGV. Salah satu projek pemuliharaan kami melibatkan penyelamatan, pemulihan dan pembebasan Beruang Matahari Malaya yang cedera atau tersesat,” kata Mohd Nazrul Izam dalam ucapan khas di FPPO 2021. 

“Sementara projek ini sedang berjalan, kami telah memperluaskan program perlindungan spesies langka, di ambang kepupusan dan terancam dengan memasukkan gajah kerdil, ungka dan tenggiling.” 

Mengenai komponen sosial, FGV menumpukan usaha sejak beberapa tahun lalu ke arah memastikan pematuhan kepada hak asasi manusia dan piawaian buruh.

Usaha ini dipergiatkan sejak awal 2019, terutamanya dengan penggabungan FGV dengan Persatuan Buruh Adil (FLA) yang merupakan program jangka panjang untuk menambah baik struktur dan sistem bagi peningkatan amalan buruh FGV. 

Walaupun begitu, FGV telah dikenakan Perintah Pelepasan Tahan (WRO) CBP AS pada 30 September tahun lepas atas dakwaan penggunaan buruh paksa. 

Namun, FGV melantik firma pengauditan bebas Elevate Ltd untuk mempercepatkan proses pengauditan yang akhirnya akan memberi laluan kepada penarikan balik WRO berkenaan. 

FGV tidak bersendirian dalam keadaan yang sukar kerana sebuah lagi syarikat gergasi minyak sawit Malaysia, iaitu Sime Darby Plantation Bhd (Sime Plantation) juga tidak terlepas daripada tindakan WRO. 

Pengeluar Minyak Sawit Mampan Bertauliah (CSPO) terbesar dunia itu dijangka mengemukakan laporan impaknya kepada CBP AS menjelang akhir April ini yang akan membuka laluan ke arah penarikan balik WRO yang dikenakan ke atas syarikat itu sejak Disember 2020. 

Menariknya, Sime Plantation baru-baru ini mengumumkan bahawa ia sedang melaksanakan transformasi semua 33 kilang minyak sawitnya di Malaysia kepada kemudahan keselamatan makanan yang diakreditasi menjelang akhir tahun 2023 dan selepas itu, piawaian yang sama akan dilaksanakan di seluruh operasi kumpulan itu di Indonesia, Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon. 

Di pihak Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, saya sedang mengusahakan pertemuan dengan CBP AS dan EU menjelang Julai tahun ini untuk menjelaskan secara terperinci mengenai dakwaan isu buruh paksa dan pada masa yang sama, menangani kesan daripada WRO yang dikeluarkan oleh CPB AS kepada FGV dan Sime Plantation pada 2020. 

Pada masa yang sama, wakil Malaysia akan menghadiri prosiding pertikaian mengenai dakwaan diskriminasi EU terhadap industri minyak sawit negara dari 8 hingga 18 Mei ini untuk kami memberikan pendapat mengenai isu itu.

Di sini, saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama menangani dakyah anti-minyak sawit oleh negara-negara Barat yang jelas bertujuan menjatuhkan industri sawit negara kita. 

Di pihak kami, sudah pasti saya akan berjuang dengan agresif dan habis-habisan menentang tekanan-tekanan daripada pihak asing ini dan memberikan mereka semua bukti yang berkaitan. Kami akan tunjukkan kepada mereka bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara yang boleh diperbodohkan. – 26 April, 2022.

* Zuraida Kamaruddin adalah menteri perusahaan perladangan dan komoditi Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen