Isu MySejahtera: Redzuan Yusof perlu tampil beri penjelasan


MERUJUK kepada beberapa siri laporan yang diterbitkan oleh Code Blue dan The Edge dilihat bukan sahaja kerajaan tidak memiliki aplikasi My Sejahtera tetapi ia bukan syarikat milik Malaysia sekalipun.

Ini bercanggah dengan apa yang pernah disebutkan oleh Redzuan selaku Menteri Tugas-Tugas Khas di Dewan Rakyat yang mengatakan KPIsoft adalah milik rakyat Malaysia walaupun ia berpengkalan di Singapura.

Malah berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara pada 1 Julai 2021 yang mengatakan “KPI Soft adalah syarikat yang ditubuhkan oleh dua rakyat Malaysia yang juga merupakan pemegang saham terbesar syarikat”.

Kini kita tahu bahwa KPI Soft yang telah menukar namanya kepada Entomo Sdn Bhd adalah dimiliki sepenuhnya oleh Entomo Pte Ltd syarikat yang didaftarkan di Singapura. 

Lebih aneh, rekod SSM (melalui laporan Code Blue) menunjukkan bahawa pada May 2020 KPI Soft Malaysia telah menukar namanya kepada Entomo Malaysia Sdn Bhd dua bulan sebelum kenyataan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Redzuan selaku Menteri tugas-tugas khas wajib menjawab beberapa persoalan asas iaitu

1. Apakah proses asal pemilihan syarikat ini untuk membangunkan aplikasi MySejahtera?

Bagaimana mereka dipilih dan apakah kriteria yang ditetapkan?

2. Bagaimana Majlis Keselamatan Negara boleh memilih sebuah syarikat yang berpangkalan di Singapura dan dimiliki oleh warga asing menguruskan data peribadi setiap rakyat Malaysia, apakah logik disebalik keputusan ini? MKN tidak buat semakan latar belakang?

SIAPA yang membuat keputusan atau syor untuk melantik syarikat ini kerana berdasarkan laporan PAC, KKM and Kementerian Kewangan juga keliru dan tidak pasti dengan proses lantikan asal.

Bagaimana syarikat asing ini diberi kebenaran untuk menguruskan data peribadi setiap rakyat

Malaysia tanpa sebarang kontrak dengan kerajaan Malaysia melainkan perjanjian NDA (Non Disclosure Agreement).

Redzuan wajar tampil kehadapan dan beri penjelasan kepada kesemua persoalan ini memandangkan lantikan ini berlaku pada waktu beliau menjawat jawatan Menteri Tugas-Tugas Khas.

Selaku pemimpin dari sebuah parti yang memanggil dirinya sebagai parti pribumi dan menteri yang menguruskan hal ehwal keselamatan negara, wajar beliau tampil dan membersihkan namanya dan memberi penjelasan kepada semua rakyat Malaysia.

Baik ditukar saja nama MySejahtera itu kepada SgSejahtera. – 23 April, 2022.

* Zaidel Baharuddin, Naib Presiden Muda



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen