Rombak sistem AP, tangani inflasi makanan


DALAM tempoh dua tahun lepas, kenaikan harga makanan asas jauh melebihi kadar peningkatan gaji rakyat Malaysia. Salah satu punca utama harga makanan asas yang tinggi adalah sistem Approved Permit (AP) untuk mengimport makanan. Maka, kerajaan digesa untuk merombak sistem AP dengan segera.

Inilah langkah pertama yang harus diambil kerajaan jika benar mempunyai kesungguhan politik menangani beban kos sara hidup rakyat. Memandangkan hampir 60% makanan untuk Malaysia diimport dari luar negara, dengan kos import RM55.5 bilion pada 2020, liberalisasi sistem AP akan menguntungkan rakyat.

Sistem AP yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional hanya menguntungkan sebilangan kecil pihak yang diberikan AP, tetapi golongan ini tidak menyumbangkan nilai tambah yang signifikan untuk sektor agro-makanan negara.

Menerusi sistem ini, hanya pihak yang mempunyai AP sahaja boleh mengimport makanan asas termasuk beras,  ayam, sayur-sayuran dan kelapa yang kemudiannya dijual kepada pemborong dan peruncit.

Golongan ini membuat keuntungan atas angin, tetapi realitinya, keuntungan ini dibayar oleh semua rakyat Malaysia.

Maka, kerajaan harus mengumumkan secara terbuka semua pemegang AP di Malaysia supaya rakyat boleh menilai bahawa sistem ini hanya menguntungkan kroni.

Data Jabatan Perangkaan jelas menunjukkan berlakunya ledakan inflasi makanan antara Disember 2019 hingga Februari 2022.

Misalnya, harga tomato melonjak 30.6% dalam tempoh ini daripada RM5.19 ke RM6.78 sekilo. Harga telur gred A 10 biji naik 14.1% daripada RM3.89 ke RM4.44.

Harga sekilo ayam pula naik 17.8% daripada RM8.03 ke RM9.46. Manakala, harga minyak masak 5kg naik hampir 41% daripada RM20.98 ke RM29.54.

Pada masa sama, kenaikan gaji di Malaysia pula jauh lebih rendah. Berdasarkan data Persekutuan Majikan Malaysia, gaji pekerja tahap eksekutif hanya meningkat sebanyak 4.82% dan 4.4% pada 2020 dan 2021.

Sekiranya situasi ini berterusan, di mana harga barang asas melonjak lebih tinggi daripada kadar peningkatan gaji, rakyat Malaysia akan terus sengsara akibat inflasi, terutamanya golongan berpendapatan rendah. Kroni terus kaya raya, rakyat pula dihimpit sengsara.

Justeru, Malaysia memerlukan perubahan struktur untuk menyelesaikan isu inflasi makanan. Paling penting, sistem AP ini harus dirombak untuk membolehkan pemborong dan penjual mengimport secara terus dari luar negara.

Liberalisasi sistem AP boleh mewujudkan pasaran yang lebih kompetitif dan seterusnya membantu menurunkan harga makanan asas yang terjejas akibat sistem AP. 

Industri agro-makanan negara memerlukan satu anjakan bagi merangsang perkembangan ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat.

Menjelang perayaan Aidilfitri, rakyat dambakan perhatian kerajaan untuk mendapat harga makanan yang lebih murah. Maka, rombakan sistem AP ini amat penting supaya isu kos sara hidup ini benar-benar diatasi dengan tuntas. – 21 April, 2022.

* Faiz Fadzil ialah ahli jawatankuasa Amanah Nasional.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen