Ketidakadilan sebenar dalam isu basikal lajak


BAGI kami yang mengikuti secara dekat, malah melaporkan tentang insiden kemalangan ngeri basikal lajak yang mengorbankan lapan nyawa anak remaja di Johor Bahru lima tahun lalu, perkara paling malang masa kini ialah sifat angkuh dan tidak rasional segelintir netizen yang tidak berlandaskan fakta sebenar.

Malah tertuduh wanita Sam Ke Ting sendiri mungkin keliru dengan gelagat memeningkan para netizen ini.

Mulanya hampir tiga tahun lalu, jika anda masih ingat ketika mahkamah memutuskan Sam tidak bersalah, mula timbul kekecohan di ruang siber apabila segelintir netizen membantah dan menyerang pihak kehakiman, kononnya demi menegakkan keadilan bagi lapan mangsa yang terkorban.

Malah satu petisyen juga dilancarkan bagi membantah keputusan tidak bersalah itu.

Kelmarin pula, apabila pihak pendakwaraya merayu dan hakim mendapati Sam bersalah serta dijatuhi hukuman penjara enam tahun, timbul pula bantahan dari kalangan netizen yang menyifatkan itu tidak adil dan mangsa serta keluarga mangsa yang patut disalahkan. Satu lagi petisyen bagi membantah keputusan itu pula dilancarkan.

Pihak kehakiman menerangkan dengan jelas asas keputusan bersalah itu yang mengambilkira kenyataan Sam sendiri, namun tidak diendahkan.

Baiklah. Itu hal berkaitan mahkamah. Kita yang mengikuti secara dekat dari mula sudah mula pening.

Kemudian, rata-rata netizen pakar segera ini memilih untuk memuatnaik gambar dan video lama berkaitan basikal lajak ini bagi mengukuhkan asas perdebatan dan narratif popular yabg sedang tular itu.

Ada video yang kita saksikan sejak 2012 pun ditayangkan semula seolah-olah berlaku hari ini.

Yang penting bagi mereka ini, keluarga mangsa harus disalahkan dan harus diambil tindakan kerana tidak patut anak-anak remaja itu berkeliaran dan menunggang basikal secara bahaya pada jam 3 pagi, waktu insiden malang itu berlaku.

Ya, tidak sepatutnya anak-anak mereka dibiarkan berkeliaran di tengah kota pada jam 3 pagi. Dan akibat daripada itu, lapan keluarga ini telahpun kehilangan anak-anak mereka.

Namun, apakah tiada langsung tindakan susulan bagi membendung insiden seperti ini berulang? Tidak.

Sejurus insiden itu berlaku, komuniti berbasikal di seluruh negara telah bangkit. Para pelumba, jurulatih bersuara untuk mengambil langkah bagi membendung gejala itu dari berterusan.

Harus diingat, lima tahun lalu, sebelum insiden ini berlaku memang sedang tular kegilaan basikal lajak ini dalam kalangan remaja di seluruh negara.

Basikal lajak ini bukan sukan yang pelik atau sukan yang baru. Dan memang bukan seperti seorang netizen yang saya ikuti, entah dari mana dipetiknya, didakwanya dibawa dari sebuah negara seberang.

Basikal lajak ini adalah satu sukan yang dikenali sebagai gravity bike, yang agak popular di negara barat seperti di Amerika Syarikat dan kebanyakan negara Eropah, tetapi dengan kaedah yang lebih selamat. Contohnya, pelumba berpakaian leather overalls dan topi keledar seperti pelumba motorsikal.

Memang ia satu sukan berkelajuan tinggi dan berisiko tinggi, namun sebab utama ia menjadi popular di sini adalah mungkin kerana kelonggaran dari segi spesifikasi jentera, yang boleh dibina sendiri dengan mengadaptasi pelbagai komponen.

Memang tular pada ketika itu dengan puluhan kumpulan basikal lajak ini menjadi ikutan anak-anak remaja melalui akaun Instagram dan Youtube.

Pokoknya dalam sektor berbasikal, selain basikal nyamuk, basikal lajak ini menjadi genre yang paling murah dan paling mudah diakses bagi golongan remaja, lebih-lebih lagi bagi yang dari keluarga berpendapatan kecil.

Dan ini bukanlah genre berbasikal yang pertama tular menjadi gejala di kalangan remaja.

Sekitar awal tahun 2000 di sekitar Terengganu memang kecoh dengan gejala lumba haram membabitkan budak-budak basikal nyamuk.

Sama seperti basikal lajak, budak-budak di Terengganu mengutip rangka basikal lama yang terbuang dan menghidupkannya semula dengan menggunakan kreativiti mereka sendiri dengan pelbagai komponen yang mereka mampu capai.

Dan itulah yang menjadi jentera lumba ratusan remaja negeri itu, hinggakan kesesakan lalulintas di tengah bandar Kuala Terengganu boleh berlaku apabila mereka semua berkumpul.

Apa yang dilakukan oleh komuniti di Terengganu pada ketika itu ialah menyantuni para remaja ini. 

Dengan kerjasama pihak polis, agensi kerajaan dan pakar dalam sukan berbasikal, berbagai program, klinik dan acara dilancarkan bagi membentuk anak-anak remaja ini dan memberikan mereka ruang berkecimpung dalam sukan ini dengan cara yang betul.
 
Hasil daripada itu, sehingga kini, sektor basikal nyamuk telah melahirkan semua jaguh antarabangsa yang berasal dari Terengganu termasuk bekas juara dunia dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Azizulhasni Awang. Malah penggantinya Mohd Shah Firdaus Sahrom pun datangnya dari lumba basikal nyamuk di Muar, Johor.

Bersandarkan pengalaman di Terengganu ini, Kementerian Belia dan Sukan serta pihak berkuasa pada ketika itu (2017) mengerti bahawa menghukum bukanlah jalan paling efisien untuk membendung gejala basikal lajak itu.

Komuniti berbasikal juga tidak duduk saja. Di seluruh negara, kelab-kelab dari Kedah sampai ke hujung Mersing dan Kota Tinggi di Johor dengan pantas mengambil inisiatif untuk memantau aktiviti basikal lajak di kalangan remaja. 

Mereka menyantuni dan mendekati budak-budak lajak ini dan mula menarik mereka ke haluan yang betul.

Anda harus faham jiwa anak-anak remaja ini jika niat anda ikhlas mahu menyelamatkan mereka. 

Jika kita terus masuk dengan sikap mahu menghalang atau menyekat kegiatan mereka, apa mereka akan buat? Sudah tentu mereka lari dan akan menjauhi kita. Apakah itu boleh membantu membendung gejala ini? Tidak.
 
Jadi kita tunjuk mereka ada masa depan yang lebih menarik dalam berbasikal juga kalau mereka ikut kita. 

Dan mereka boleh jadi hero sebenar, bukan hero yang dikeji masyarakat dan dibenci netizen yang tidak tahu hujung pangkal dan tidak paham jiwa mereka.

Itulah juga pendekatan yang diambil KBS dan pihak berkuasa. KBS melancarkan program TVET dan vokasional yang memberi ruang kepada para remaja ini mengasah lagi kreativiti mereka dalam pertukangan.

Pelbagai program dibuka untuk mereka dan ibubapa juga disantuni. Di Johor saja, pelbagai program berbasikal akar umbi diusahakan dengan klinik, kem pencarian bakat dan pelbagai lagi.

Malah Johor mengambil keputusan untuk membina sebuah velodrom Kelas 1 dan kompleks berbasikal bagi memantapkan lagi sektor pembangunan sukan ini. Pihak berkuasa juga berterusan pada ketika itu memberikan penerangan dan amaran kepada remaja serta ibubapa mereka.
 
Saya sendiri membantu rakan jurulatih saya Fairoz Izni Abdul Ghani melancarkan program Ride2Win di Melaka. Kami mengelilingi Melaka untuk mencari budak-budak basikal lajak dan nyamuk, dan menarik mereka masuk program itu.

Dengan bantuan komuniti berbasikal Melaka, pelbagai hadiah berbentuk keperluan disediakan dalam perlumbaan. Mereka diberikan kesedaran dan tunjuk ajar ke jalan yang betul.

Hasilnya, beberapa pelumba remaja dapat dicungkil bakat mereka. Selebihnya pula, setidak-tidaknya berhenti melakukan aksi berbahaya di tengah jalan raya.

Remaja yang sebelum itu menunggang basikal tanpa topi keledar, sudah memakai helmet. Yang basikalnya sebelum itu tiada brek, sudah dipasang brek.

Di seluruh negara, rakan-rakan dari kominiti dan kelab-kelab basikal melakukan usaha mereka sendiri bagi membendung gejala itu.

Setahun selepas insiden itu, gejala itu dilihat sudah berkurang secara drastik. 

Sekarang, lima tahun sesudah itu, nyata basikal lajak ini bukan lagi satu gejala yang setular dahulu.

Jika ada pun segelintir yang masih berkeliaran di jalan raya, sekurang-kurangnya ada program yang sedia tersusun untuk mereka dialihkan. Jika masih berdegil, polis akan menangkap dan merampas basikal mereka.

Peliknya, para netizen tidak langsung mengambil kira keadaan terkini. Apakah gejala basikal lajak ini masih berleluasa seperti dulu?

Sudah lama rasanya tiada pun berita penahanan dan rampasan basikal lajak oleh pihak polis.
Malah saya lihat kumpulan-kumpulan basikal lajak yang popular lima tahun dulu di Instagram samada sudah bertahun tidak ada muatnaik content baru atau sudah ditutup terus akaun mereka.

Masalah paling besar di kalangan netizen kini ialah mereka terlalu asyik dengan kemudahan mengkritik dan angkuh dalam memberi pendapat tentang segalanya di media sosial, hingga mereka sudah rasa tidak perlu menyumbang usaha bagi mencegah atau membendung masalah yang mereka bangkitkan. Cukup sekadar posting berapi di media sosial.

Mereka lebih gemar terus-menerus mengulang siar video lama yang sudah tidak relevan, dari keluar dan melihat sendiri sama ada gejala itu masih berleluasa dan menyampaikan fakta.

Dan kalau masih ada pun, apa tindakan mereka selain sekadar memuatkan hantaran di media sosial?

Boleh kita simpulkan bahawa ketidakadilan yang paling jelas dalam isu ini ialah ketaranya pendapat netizen yang mengalihkan pandangan dari fakta serta menenggelamkan segala usaha banyak pihak yang terang-terang berhasil membendung gejala basikal lajak sejak tahun lalu. – 16 April, 2022. 

* Arnaz M. Khairul bekas wakil Asia Tenggara dalam International Association of Cycling Journalists (AIJC)  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen