Kerajaan Pahang sepatutnya lindungi rakyat, bukan saman mereka, kata Guan Eng


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata kerajaan Pahang sepatutnya melindungi hak rakyat untuk kebebasan bersuara dan tidak mengambil kira sebagai fitnah terhadap mereka yang menentang dasar pembalakan atau perlindungan alam sekitar.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Februari, 2022.

KERAJAAN Pahang sepatutnya melindungi hak rakyat untuk kebebasan bersuara dan tidak mengambil kira sebagai fitnah terhadap mereka yang menentang dasar pembalakan atau perlindungan alam sekitar, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Dengan mengambil tindakan fitnah terhadap apa yang pada asasnya adalah seseorang yang menuntut ganti rugi undang-undang untuk mempertahankan reputasi seseorang atau syarikat, kerajaan kini meluaskan takrifan fitnah untuk lindungi kerajaan supaya dasar-dasarnya tidak lagi boleh dipersoalkan atau dikritik,” ahli Parlimen Bagan dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada tindakan kerajaan Pahang yang mengeluarkan notis tuntutan kepada Ahli Parlimen Bentong Wong Tack kerana memfitnah berhubung dua posting media sosial mengenai aktiviti banjir dan pembalakan di negeri itu.

Kerajaan negeri juga menuntut permohonan maaf tanpa syarat dan pampasan RM1 juta daripada ahli Parlimen berkenaan dalam tempoh 14 hari.

Posting itu dimuat naik ke akaun Facebook rasmi Wong pada 28 Disember 2021, dan 31 Januari tahun ini.

Lim berkata jika tindakan fitnah diambil oleh menteri atau menteri B=besar secara peribadi, itu berbeza kerana mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian untuk melindungi reputasi individu mereka semasa bertindak atas kapasiti rasmi mereka.

“Bagaimanapun, bagi kerajaan untuk menyaman adalah sama dengan meletakkan kerajaan di atas landasan “ketuhanan” yang mesti dianggap sebagai suci yang tiada siapa boleh bercakap perkara buruk. Bukankah ini satu penyalahgunaan keistimewaan dan sumber kerajaan?

“Kerajaan sepatutnya melindungi rakyat dan tidak berhak mendapat perlindungan daripada rakyat yang mereka telah bersumpah untuk lindungi. Ini bukan maksud demokrasi dan kutukan kepada kebebasan bersuara serta menyinggung hak asasi setiap rakyat untuk memperjuangkan hak mereka,” katanya dalam kenyataan itu.

Wong bukanlah aktivis pertama yang diambil tindakan oleh kerajaan Pahang berhubung postingnya.

Kerajaan Pahang sebelum ini turut mengeluarkan surat tuntutan, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil kerana didakwa membuat kenyataan berbaur fitnah terhadap aktiviti pembalakan di negeri itu.

Kerajaan negeri berkata, aktivis alam sekitar itu telah membuat kenyataan berunsur fitnah di Facebooknya pada 29 dan 30 Disember tahun lalu dan semasa wawancara Sinar Harian pada 12 Januari.

Surat tuntutan itu dikeluarkan melalui firma guaman Tetuan Hidayah Ishak & Partners.

Surat tuntutan itu menyatakan bahawa kenyataan Shariffa antara lain membayangkan kerajaan negeri tidak bertanggungjawab membenarkan pembalakan di kawasan Karak tanpa membuat penilaian kesan alam sekitar. – 16 Februari, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen