PERDANA menteri mengumumkan pemberian AP pengimportan ayam sejuk beku untuk menurunkan harga ayam.
Kerajaan juga akan mengawal harga ayam pada RM8.90 sekilo sehingga 5 Jun 2022.
Pengumuman dua pendekatan ini tidak cerdik. Ia boleh diibaratkan sebagai “short term gain, long term pain”.
Kebergantungan pengimportan ayam juga akan menjejaskan jaminan keselamatan makanan negara.
Sikap “import lebih mudah” inilah yang menyebabkan industri pertanian negara selama ini tidak maju. Nasib rakyat pula terlalu bergantung kepada negara lain. Ini amat berbahaya.
Kawalan harga ayam pada RM8.90 sekilo sehingga bulan Jun iaitu selama 121 hari juga amat luar biasa. Biasanya kawalan harga adalah pada sekitar dua minggu pada musim perayaan sahaja.
Kawalan harga yang terlalu panjang akan menjejaskan para penternak yang kini telah mengalami tekanan serius akibat kenaikan harga dedak dan kenaikan gaji pekerja.
Kerugian yang berpanjangan akan mengakibatkan mereka lingkup dan keluar dari industri ternakan ayam sama sekali.
Masalah sebenar kenaikan harga ayam adalah masalah kos input iaitu kos dedak dan kos pekerja.
Kerajaan seharusnya lebih tumpu kepada menyelesaikan masalah sebenar ini.
Cadangan saya untuk jangka masa pendek, ialah memberikan subsidi pengeluaran (output based subsidies) untuk para penternak, supaya mereka boleh meringankan kos input dan meningkatkan produktiviti.
Subsidi pengeluaran padi telah lama dilaksanakan untuk meningkatkan pengeluaran padi. Cara ini boleh diguna pakai untuk sektor penternakan ayam.
Buat masa sekarang, pengeluaran sebulan ayam adalah sebanyak 130,000 tan metrik.
Saya mencadangkan subsidi RM500 satu tan metrik (hanya 50 sen sekilo) diberikan kepada para penternak supaya mereka meningkatkan pengeluaran mereka. Kerajaan hanya perlu membelanja RM65 juta sebulan.
Saya cadangkan subsidi pengeluaran terhad kepada tiga bulan sahaja sehingga pengeluaran kembali ke tahap normal.
Pendekatan ini pasti akan meningkatkan pengeluaran ayam dan menyelamatkan industri penternakan ayam.
Negara juga tidak perlu bergantung kepada pengimportan. Ini cara serampang dua mata.
Saya ingin menyeru Perdana Menteri memahami masalah sebenar kenaikan harga ayam dan laksanakan penyelesaian yang lebih efektif. – 5 Februari, 2022.
* Sim Tze Tzin ahli parlimen Bayan Baru dan jurucakap parlimen hal ehwal pertanian dan komoditi PKR
Komen