Kurangkan birokrasi selesai isu kerakyatan Rohana dan yang senasib, kata peguam


Lawyers for Liberty berharap kerajaan menyemak semula dasar mengenai isu status kerakyatan, yang turut dialami banyak orang lain yang kini tidak bernegara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2022.

PUTRAJAYA mesti menyelesaikan dengan segera status kerakyatan Rohana Abdullah, gadis yang dibela ibu angkatnya sejak berumur dua bulan selepas ibu kandungnya pulang ke Indonesia 22 tahun lalu, kata peguam dan ahli Parlimen.

Lawyers for Liberty berharap kes itu selesai tanpa kerenah birokrasi dan siasatan yang panjang, kata ketua penyelarasnya Zaid Malek.

Kumpulan peguam itu juga berharap kerajaan menyemak semula dasar mengenai isu berkenaan, yang turut dialami banyak orang lain yang kini tidak bernegara.

“Tidak memadai berjanji menyelesaikan (isu) hanya dengan liputan media terhadap satu kes dan selepas itu mengabaikan puluhan ribu kes yang sama seperti Rohana.

“Penyelesaian yang reaktif tidak memadai. Isu tidak bernegara mesti ditangani dengan menyeluruh dan sistematik ke akar umbinya,” kata LFL dalam satu kenyataan.

Zaid merujuk kenyataan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin yang berjanji akan mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah Rohana.

“Kami menggesa menteri untuk menyelesaikan status Rohana sebagai warga tanpa negara dengan segera. Faktanya jelas.

“Tidak perlu siasatan panjang atau proses birokrasi. Rohana dan ibu angkatnya sudah lama menderita,” tambahnya.

Rohana dan mereka yang senasibnya dengannya selama ini menjadi mangsa proses birokrasi yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, yang memberikan status kewarganegaraan mengikut proses undang-undang.

“Kesannya terhadap mereka bukan sedikit. Tidak bernegara menutup peluang mereka untuk pendidikan, rawatan kesihatan, dan pekerjaan,” kata Zaid.

Media minggu lalu melaporkan kisah Rohana yang dibela ibu angkatnya seorang warganegara Malaysia Chee Hoi Lan.

Biarpun berlainan agama dan budaya, Chee membesarkan Rohana sebagai seorang muslim termasuk menjaga makan minumnya yang halal serta memastikan beliau mendapat pendidikan agama.

Rohana sementara itu sudah memohon kerakyatan sejak 2016 tetapi sehingga ini tidak mendapat maklum balas.

Kisah hidup Rohana yang dibela ibu angkat berlainan agama itu kemudiannya menarik perhatian Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang menghubungi sendiri gadis itu melalui telefon.

Rakaman perbualan telefon itu dikongsi perdana menteri melalui media sosial malam tadi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata kerajaan perlu memperakui masalah dasar dalam isu ini sekiranya ia tegas mahu membantu mereka yang tidak bernegara di Malaysia.

“Kalau Ismail Sabri dan Hamzah serius hendak mengakhiri penderitaan dan tragedi Rohana, mereka juga mesti sama komited untuk membantu anak-anak tanpa negara negara dan memperakui kekurangan dasar dalam hal ini,” katanya.

Beliau menggesa anak-anak tidak bernegara yang bapa mereka adalah rakyat Malaysia diberikan kerakyatan Malaysia dengan bukti melalui ujian DNA.

Mereka yang dijadikan anak angkat secara sah oleh warga Malaysia juga perlu diberikan kerakyatan Malaysia, tambahnya.

“Apakah mereka perlu tunggu liputan media sebelum dapat panggilan telefon daripada perdana menteri dan jaminan daripada menteri dalam negeri?” tanyanya. – 17 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen