Prosiding PSC kes Azam boleh dibuka kepada umum, Wong sanggah Azhar


Pengerusi PAC Wong Kah Woh hari ini menyanggah kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun semalam bahawa prosiding bagi membincangkan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada Rabu ini tidak akan dibuka kepada orang ramai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2022.

SPEAKER Dewan Rakyat boleh meminta Peraturan Mesyuarat supaya prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi membincangkan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dibuat secara dibuka, kata Wong Kah Woh.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu menyanggah kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun semalam bahawa prosiding pada Rabu ini tidak akan dibuka kepada orang ramai.

Ini kerana Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat terpakai bagi semua prosiding PSC, yang tidak membenarkan ia dilakukan secara terbuka, kata Azhar,

Mengulas lanjut, Wong berkata prosiding bagi membincangkan dakwaan terhadap Azam perlu dibuka kepada orang ramai kerana ia melibatkan kepentingan awam.

“Perkara ini begitu penting, mengapa speaker masih teragak-agak (membenarkan prosiding terbuka) supaya orang ramai boleh melihat, menilai dan meneliti keterangan yang diberikan saksi-saksi?” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Azhar dipetik The Star berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Agensi-Agensi Bawah Jabatan Perdana Menteri yang akan mengadakan mesyuarat pada Rabu bagi membincangkan pegangan saham  Azam akan diadakan secara tertutup. 

“Speaker silap. Beliau mempunyai kuasa untuk memulakan penggantungan Peraturan Mesyuarat dengan merujuk perkara yang sama kepada Dewan untuk membuat keputusan menurut Peraturan Mesyuarat 90(2).

“Dengan penggantungan Peraturan Mesyuarat 85, mana-mana prosiding jawatankuasa Parlimen boleh disiarkan secara dalam talian dan terbuka buat orang ramai,” kata ahli Parlimen Ipoh Timur itu.

Malah kenyataan Azhar semalam bahawa prosiding dibuat tertutup bagi memastikan semua pihak yang terlibat memberi kerjasama penuh “tidak masuk akal”, tambah Wong.

Katanya, semua saksi terikat dengan tanggungjawab untuk memberi kerjasama penuh kepada jawatankuasa dan akan menjawab semua soalan yang dikemukakan semasa prosiding.

“Kedua, sesiapa yang memberi jawapan palsu bukan sahaja melakukan penghinaan terhadap Dewan, tetapi juga bertanggungjawab atas kesalahan di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 20 Akta Dewan Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

“Ketiga, semua nota prosiding direkodkan dalam Hansard dan diterbitkan bersama laporan jawatankuasa.

“Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Parlimen pada 2019 memutuskan bahawa semua prosiding jawatankuasa Parlimen akan didedahkan kepada umum, dan keperluan perkakasan untuk prosiding secara langsung semuanya tersedia di saluran TV Parlimen Malaysia,” katanya.

Tambahnya, orang ramai berhak untuk tahu lebih-lebih lagi isu penting melibatkan pegawai tertinggi yang mempertaruhkan integriti SPRM. 

“Sudah tiba masanya untuk speaker memastikan semua jawatankuasa Parlimen dapat berfungsi dengan cekap dan berkesan untuk memeriksa eksekutif.” – 17 Januari, 2022.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen