Korban Covid-19 Mexico kini lebih 300,000


Mexico adalah negara kelima dalam dunia paling teruk terjejas, AS berada di tangga teratas dengan 836,000 kematian, diikuti Brazil (619,000), India (483,000) dan Rusia (314,000). – Gambar AFP, 8 Januari, 2022.

JUMLAH korban wabak Covid-19 di Mexico kini melepasi 300,000 orang semalam, menjadikannya antara negara dengan korban tertinggi sejak pandemik melanda dunia.

Mexico adalah negara kelima dalam dunia paling teruk terjejas, AS berada di tangga teratas dengan 836,000 kematian, diikuti Brazil (619,000), India (483,000) dan Rusia (314,000).

Negara Amerika Tengah itu merekodkan 28,023 kes baharu pada Jumaat, kedua tertinggi sejak pandemik bermula, dengan jumlah keseluruhan kes ini melebihi empat juta kes.

Mexico secara rasmi merekodkan 300,101 kematian sejak Mac 2020, termasuklah 168 dalam tempoh 24 jam lepas, menurut kementerian kesihatan.

Angka itu dianggap sebagai kurang laporan kerana 451,864 kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan sehingga Disember 2021, menurut data rasmi.

Presiden Andres Manuel Lopez Obrador minggu ini mengakui wujudnya lonjakan kes tetapi menolak sekatan terbaru akan dilaksanakan.

Salah sebuah negara tumpuan pelancongan dunia, Mexico terus membuka sempadannya dan tidak memerlukan sebarang saringan atau pas vaksinasi untuk pelancong yang tiba di negara itu. – AFP, 8 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen