JUMLAH kes baharu membabitkan varian Omicron yang mencetuskan kluster OKK Awang Besar Saudi di Labuan meningkat daripada 13 kepada 18 kes setakat semalam (6 Januari), kata Pengarah Jabatan Kesihatan pulau bebas cukai itu, Dr Ismuni Bohari.
Beliau berkata pihaknya kini bersiap sedia sepenuhnya untuk kemungkinan berlaku lonjakan kes baharu melibatkan varian tersebut, di samping menggesa orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dengan mengelak orang ramai dan mengamalkan penjarakan fizikal.
“Jumlah kes Covid-19 bertambah berikutan kemunculan kluster baharu ini, dan kami juga menjangkakan peningkatan kes dalam beberapa hari akan datang.
“Jangkaan peningkatan kes bukan sahaja disebabkan daripada kemasukan pengembara, tetapi kemungkinan besar juga daripada kalangan pelajar memandangkan sesi persekolahan dibuka semula minggu depan. Berikutan itu, kami memutuskan untuk membekukan cuti tahunan petugas kesihatan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, menurut Dr Ismuni seorang pelajar (dari Sabah) Kolej Matrikulasi Labuan yang dijadual memulakan semester baharu dikesan positif Covid-19 beberapa hari lalu. – Bernama, 7 Januari, 2022.
Komen